BERLIN: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyeru negara-negara anggota membayar sumbangan mereka bagi menjamin kelangsungan misi pengaman di negara-negara terlibat.
Beliau menegaskan kekuatan operasi pengaman PBB hanya bergantung kepada komitmen sebenar negara anggota terhadap tanggungjawab bersama.
Ketika ini, Jabatan Pengaman PBB mengendalikan 11 operasi di seluruh dunia termasuk di Congo, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Lubnan, Cyprus dan Kosovo.
Bagi tahun fiskal yang berakhir pada 30 Jun ini, jumlah bajet bagi sembilan operasi utama mencecah AS$5.6 bilion (RM26.5 bilion) menyusut sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Semua 193 negara anggota PBB diwajibkan secara undang-undang untuk membayar bahagian masing-masing bagi pembiayaan misi tersebut.
“Dengan peruntukan yang hanya meliputi sekitar setengah peratus daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan global, operasi pengaman PBB kekal antara instrumen paling berkesan dan berpatutan untuk membina keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Guterres semasa ucapan pembukaan pada Persidangan Menteri-Menteri Mengenai Masa Depan Operasi Pengaman, anjuran Jerman, semalam.
“Namun, keberkesanannya hanya sekuat mana kesungguhan negara anggota untuk menyokongnya,” tambah beliau sambil menyatakan operasi pengaman kini berdepan krisis kewangan yang serius.
Beliau tidak memperincikan kesulitan kewangan tersebut tetapi mengakui seluruh struktur pembiayaan PBB sedang terjejas teruk berikutan pemotongan sumbangan, khususnya daripada Amerika Syarikat (AS) semasa pentadbiran Presiden Donald Trump.
“Adalah sangat penting untuk semua negara anggota menghormati tanggungjawab kewangan mereka membayar sumbangan secara penuh dan tepat pada waktunya,” tegas beliau. – AGENSI