Parti Buruh menang besar Pilihan Raya Australia

Parti Buruh menang besar Pilihan Raya Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Parti Buruh Australia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anthony Albanese meraih kemenangan majoriti dalam Parlimen, menandakan penggal kedua yang bersejarah sejak 2004, menurut laporan media tempatan.

Dengan lebih 45 peratus undi, Parti Buruh mendahului dengan lebih 87 kerusi di Dewan Perwakilan, melepasi ambang 76 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).

“Demi menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada serta membina masa depan yang lebih baik dan kukuh, rakyat Australia telah memilih kerajaan majoriti Parti Buruh.

“Mulai esok, kita kembali bekerja,” kata Albanese dalam ucapannya di Ibu Pejabat Parti Buruh.

Beliau turut menegaskan mandat yang diberikan rakyat akan menjadi dorongan untuk pentadbirannya setiap hari sepanjang tiga tahun akan datang.

Antara kejutan terbesar pada pilihan raya kali ini ialah kekalahan pemimpin pembangkang, Peter Dutton dari Parti Liberal di kerusi Dickson, Queensland.

Calon Parti Buruh, Ali France berjaya menewaskan Dutton dan menjadikannya kali pertama dalam sejarah Australia seorang pemimpin pembangkang kehilangan kerusi Parlimennya dalam pilihan raya umum.

Dutton dilaporkan mengakui kekalahannya kepada France di ibu pejabat Parti Liberal.

“Kempen kali ini jelas tidak cukup baik. Itu sudah nyata malam ini dan saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya kepada penyokong parti.

Sebelum ini, Dutton menerima kritikan meluas berikutan kenyataan berunsur Islamofobia, termasuk menyifatkan calon politik Islam sebagai ‘bencana’.

Beberapa calon daripada partinya turut didakwa cuba meniru strategi politik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam kempen mereka di Australia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya