ISLAMABAD: Sebuah jet pejuang buatan China yang digunakan oleh Pakistan menembak jatuh sekurang-kurang dua pesawat tentera India pada Rabu lalu, kata dua pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada Reuters.
Kejadian itu dilihat sebagai menandakan satu pencapaian penting bagi jet pejuang canggih keluaran Beijing.
Keupayaan jet pejuang utama buatan China menentang pesaing dari Barat diperhatikan secara rapat di Washington untuk mendapatkan gambaran kemampuan Beijing sekiranya berlaku sebarang konflik di Taiwan atau rantau Indo-Pasifik yang lebih luas.
Seorang pegawai AS yang enggan dinamakan berkata, Pakistan amat diyakini menggunakan pesawat J-10 buatan China untuk melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara terhadap jet pejuang India yang mengakibatkan sekurang-kurang dua pesawat India berjaya ditembak jatuh setakat ini.
Seorang lagi pegawai pula berkata, sekurang-kurang sebuah jet India yang ditembak jatuh adalah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.
Kedua-dua pegawai itu berkata, pesawat F-16 milik Pakistan – buatan Lockheed Martin – tidak digunakan dalam kejadian berkenaan.
Sementara itu, India tidak mengaku kehilangan mana-mana pesawatnya, sebaliknya mendakwa bahawa ia berjaya menyerang infrastruktur musuh di Pakistan.
Rabu lalu, Reuters yang memetik pegawai kerajaan tempatan di India, melaporkan tiga pesawat negara itu telah ditembak jatuh.
Ia adalah pengesahan pertama oleh Barat bahawa jet buatan China yang dimiliki Pakistan telah digunakan dalam insiden itu.
Semalam, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, memberitahu Reuters bahawa jet pejuang J-10 telah digunakan untuk menembak jatuh tiga pesawat Rafale buatan Perancis yang baru diperoleh India.










