WASHINGTON: Sebuah organisasi kemanusiaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) dijangka memulakan operasi di Gaza menjelang akhir Mei menerusi satu pelan agihan bantuan yang menerima kecaman meluas.
Namun, organisasi tersebut menggesa Israel supaya membenarkan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi lain menyambung semula penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin sementara mereka bersiap sedia.
Pelan yang dicetuskan oleh Israel itu melibatkan syarikat swasta bagi menghantar bantuan ke lokasi pengagihan selamat terpilih, terutamanya di selatan Gaza.tanpa penglibatan PBB atau agensi bantuan sedia ada.
Operasi ini akan dikendalikan oleh sebuah entiti baharu yang dinamakan Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
Syarikat keselamatan AS, UG Solutions, dan syarikat logistik berpusat di AS, Safe Reach Solutions turut terlibat, menurut sumber yang mengetahui pelan tersebut namun enggan dinamakan.
Menurut sumber berkenaan, di lokasi agihan itu, bantuan kemanusiaan akan diserahkan kepada agensi bantuan untuk diagihkan kepada orang awam.
Washington menggesa PBB dan agensi bantuan untuk bekerjasama dengan GHF namun timbul kebimbangan operasi tersebut mungkin tidak mematuhi prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat seperti perikemanusiaan, tidak memihak, bebas dan neutral.
“Kami menyatakan dengan jelas bantahan terhadap mekanisme bantuan yang dicadangkan ini,” kata jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq pada Rabu, merujuk kritikan keras oleh Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher.
Dalam sepucuk surat kepada Israel pada hari sama, Pengarah Eksekutif GHF, Jake Wood cuba menjawab beberapa kebimbangan yang dibangkitkan.
Beliau menegaskan GHF tidak akan berkongsi sebarang maklumat peribadi penerima bantuan dengan pihak Israel.
Dalam satu kenyataan berasingan, GHF menyatakan Israel bersetuju untuk menambah bilangan lokasi agihan bagi memastikan seluruh populasi Gaza menerima bantuan serta mencari penyelesaian untuk mereka yang tidak dapat ke lokasi agihan.
Susulan pengumuman GHF itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, kebimbangan terhadap pelan tersebut masih berterusan.
“Bantuan kemanusiaan tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan senjata. Keperluan rakyat awam di Gaza kini amat mendesak dan bantuan mesti dibenarkan masuk serta-merta tanpa sebarang halangan,” kata jurucakap ICRC, Steve Dorsey kepada Reuters.