BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan spekulasi mengenai keretakan hubungan dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) selepas lawatan Presiden AS Donald Trump ke negara-negara Teluk yang tidak melibatkan Israel, lapor Reuters pada Khamis.
Lawatan Trump ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini membawa kepada beberapa perjanjian perniagaan besar, namun mencetuskan reaksi media antarabangsa yang mempersoalkan tindakan tidak menyenaraikan Israel yang juga sekutu paling rapat Washington di rantau itu dalam lawatan tersebut.
Lawatan itu turut dibuat selepas keputusan Trump untuk menamatkan kempen pengeboman AS terhadap Yemen walaupun kumpulan bersenjata dari Yemen masih melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel serta hasratnya untuk memulakan semula rundingan nuklear dengan Iran.
Netanyahu, yang sebelum ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam mengenai perkara itu memberitahu wartawan dalam satu sidang media bahawa beliau telah berbual dengan Trump kira-kira 10 hari lalu.
“Bibi, saya mahu kamu tahu bahawa saya berpegang penuh kepada komitmen saya terhadap kamu dan juga kepada negara Israel,” kata Trump seperti yang dipetik oleh Netanyahu.
Dalam keadaan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel, Trump sebelum ini turut menyeru agar perang di Gaza segera ditamatkan serta menzahirkan kebimbangan terhadap penderitaan penduduk awam di wilayah yang dikepung itu.
Sekatan bantuan Israel yang sudah berlarutan selama 11 minggu telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang dahsyat dengan kebimbangan bahawa kebuluran kini mula berlaku. -AGENSI