KANO: Negeri Borno di timur laut Nigeria mengumumkan larangan penjualan petrol sebagai langkah membendung semula peningkatan serangan militan di wilayah yang menjadi pusat utama pemberontakan bersenjata sejak lebih sedekad lalu.
“Saya mengarahkan larangan serta-merta ke atas penjualan petrol di bandar Bama dan kawasan lain dalam daerah kerajaan tempatan Bama,” kata Gabenor Borno, Babagana Umara Zulum.
Larangan itu merupakan sebahagian daripada tindak balas strategik kerajaan negeri terhadap operasi membanteras pemberontakan, menurut kenyataan tersebut.
Langkah menghentikan bekalan bahan api untuk kenderaan dijangka akan menyekat pergerakan kumpulan militan yang aktif di kawasan terbabit.
Bandar Bama yang merupakan bandar kedua terbesar selepas ibu negeri Maiduguri terletak di pinggir Hutan Sambisa, sebuah kubu kuat kumpulan Islamic State West Africa Province (ISWAP) iaitu pecahan daripada kumpulan militan Boko Haram.
Pada 2014, Bama menyaksikan kemusnahan paling teruk apabila ditawan oleh Boko Haram dan ratusan penduduknya dibunuh.
Wilayah timur laut Nigeria kebelakangan ini kembali bergolak dengan serangan kumpulan militan Islamis yang meningkat sekali gus mencetuskan semula konflik berdarah yang telah berlarutan selama 16 tahun, mengorbankan lebih 40,000 orang dan menyebabkan kira-kira dua juta penduduk menjadi pelarian.
Sejak April, lebih 100 nyawa terkorban dalam serangan yang berlaku di rantau tersebut.
Borno, negeri bermulanya gerakan Boko Haram 16 tahun lalu kekal menjadi pusat konflik bersenjata di negara paling ramai penduduk di Afrika itu. – ARABNEWS