Mr Beast dikecam rakam video di tapak arkeologi Mexico

Mr Beast dikecam rakam video di tapak arkeologi Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: YouTuber terkenal Amerika Syarikat (AS), Jimmy Donaldson atau lebih dikenali sebagai Mr Beast kembali mencetuskan kontroversi, kali ini melibatkan lawatannya ke beberapa tapak arkeologi penting di Mexico.

Dalam sebuah video yang diterbitkan pada 10 Mei, Mr Beast yang merupakan YouTuber paling ramai pengikut di dunia dengan hampir 100 juta langganan dilihat mengunjungi beberapa lokasi arkeologi terkenal di Mexico, termasuk Chichan Itza di Yucatan yang menempatkan Piramid Kukulkan atau lebih dikenali sebagai El Castillo, antara tujuh keajaiban dunia moden.

Selain itu, beliau turut mengunjungi tapak arkeologi Calakmul di Campeche dan Balamcancha di Yucatan.

Video berdurasi sekitar 10 minit yang mencatat lebih 55 juta tontonan setakat petang Rabu memaparkan Mr Beast dan pasukannya berada di sekitar kawasan Kukulkan serta di dalam beberapa struktur arkeologi, telaga semula jadi dan kuil kuno.

Apa yang menimbulkan kontroversi adalah akses istimewa yang diberikan kepada Mr Beast ke kawasan yang dianggap suci oleh budaya pra-Hispanik Mexico yang lazimnya dihadkan kepada orang awam.

“Saya tidak percaya kerajaan benarkan kami lakukan ini, ia gila. Ahli arkeologi pun tidak dibenarkan masuk ke sini,” kata Mr Beast dalam video tersebut.

Sebagai reaksi terhadap kritikan awam, Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico (INAH) yang berada di bawah Kementerian Kebudayaan negara itu menjelaskan, lawatan dan rakaman berkenaan dilakukan melalui permohonan rasmi.

Namun menurut INAH, permohonan itu bukan dibuat oleh Mr Beast sendiri sebaliknya oleh Kementerian Pelancongan Persekutuan Mexico dan kerajaan negeri Yucatan serta Campeche.

Dalam penerangan videonya, Mr Beast turut menyatakan projek itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Mexico.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Rabu memaklumkan permit untuk siaran sudah diberikan namun beliau mengarahkan INAH untuk melaporkan bagaimana permit itu dikeluarkan.

“Dan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap permit tersebut, maka perlu ditentukan apakah tindakan yang sepatutnya dikenakan,” tegas beliau.

Antara perkara lain yang turut menjadi perdebatan termasuk satu rakaman dron yang kelihatan seperti dirakam dari dalam kuil di puncak El Castillo.

Berhubung isu itu, INAH menafikan sebarang rakaman dilakukan dari dalam struktur tersebut dan menyatakan ia sebenarnya dirakam dari luar.

Terdapat juga babak menunjukkan Mr Beast turun ke lokasi arkeologi menggunakan helikopter serta memegang topeng pra-Hispanik, yang menimbulkan persoalan mengenai pematuhan kepada garis panduan pelestarian warisan budaya negara itu.

Kontroversi ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat Mexico dan komuniti arkeologi antarabangsa mengenai batas kerjasama antara pelancongan, media sosial dan pemeliharaan warisan sejarah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN