JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin mempertahankan kenyataannya yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila menyifatkan lelaki yang memakai seluar jean bersaiz 33 inci ke atas sebagai ‘pasti akan mengalami obesiti dan lebih cepat menemui Tuhan’.
Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi balas hebat daripada warga maya yang menyifatkannya sebagai keterlaluan dan menghina bentuk tubuh seseorang namun, Budi menegaskan beliau tidak berniat untuk mempersendakan sesiapa, sebaliknya hanya mahu menyampaikan mesej kesihatan dengan cara mudah difahami rakyat.
“Saya bukan mempersenda sesiapa. Saya cuma menafsirkan nasihat kesihatan dalam bentuk yang lebih mudah difahami,” katanya seperti dilaporkan Jakarta Globe.
Terdahulu, dalam satu majlis pelancaran tiga inisiatif kesihatan terbaharu bersama Gabenor Jakarta, Pramono Anung, di Jakarta Pusat, Budi menyatakan lelaki yang memakai seluar jean bersaiz melebihi 32 atau 33 inci dianggap mengalami obesiti.
Menurutnya, berdasarkan piawaian Kementerian Kesihatan Indonesia, ukuran lilitan pinggang yang sihat bagi lelaki ialah 90 sentimeter atau kurang bersamaan kira-kira 35.4 inci.
Kata beliau, kaedah paling mudah untuk menilai kesihatan lilitan pinggang ialah dengan melihat saiz seluar yang dipakai.
Budi menjelaskan kenyataannya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya lemak visceral (lemak dalaman), tanpa menggunakan istilah perubatan yang kompleks.
“Lemak visceral cenderung berkumpul di bahagian perut. Jika ia merebak ke organ seperti jantung atau hati, ia boleh mendatangkan risiko besar,” katanya.
Beliau turut menyarankan orang ramai memastikan indeks jisim badan (BMI) mereka kekal di bawah 24 bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan lemak dalaman seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut turut dikritik kerana tidak mengambil kira perbezaan ketinggian individu yang secara semula jadi boleh menyumbang kepada saiz pinggang lebih besar.