Lelaki didakwa cuba baling bom Molotov di kedutaan AS di Tel Aviv - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa cuba baling bom Molotov di kedutaan AS di Tel Aviv

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat (AS) dan Jerman ditahan bagi tuduhan cuba melancarkan serangan bom api terhadap pejabat cawangan kedutaan AS di Tel Aviv, menurut kenyataan pendakwa persekutuan di New York.

Pihak berkuasa Israel telah menghantar pulang Joseph Neumeyer ke New York pada Sabtu dan dia dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama di hadapan seorang hakim persekutuan di Brooklyn pada Ahad. Aduan jenayah terhadapnya telah didedahkan pada hari sama.

Menurut pendakwa, Neumeyer berjalan ke arah bangunan kedutaan pada 19 Mei lalu dengan membawa sebuah beg galas yang mengandungi bom Molotov namun berlaku pertengkaran antara dia dan seorang pengawal keselamatan. Beliau kemudian melarikan diri dan meninggalkan beg galas tersebut ketika pengawal cuba menahannya.

Pihak penguatkuasa undang-undang berjaya menjejaki Neumeyer ke sebuah hotel yang terletak beberapa blok dari lokasi kedutaan sebelum menahannya, menurut aduan jenayah yang difailkan di Daerah Timur New York.

“Defendan ini didakwa merancang satu serangan yang boleh membawa kemusnahan terhadap kedutaan kita di Israel, mengancam nyawa rakyat AS dan Presiden Donald Trump. Jabatan ini tidak akan bertolak ansur dengan keganasan sebegini dan akan mendakwa defendan mengikut undang-undang sepenuhnya,” kata Peguam Negara AS, Pam Bondi dalam satu kenyataan.

Peguam yang dilantik mahkamah untuk mewakili Neumeyer, Jeff Dahlberg bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes tersebut.

Cubaan serangan itu berlaku dalam konteks konflik berdarah yang masih berlanjutan antara Israel dan Gaza yang kini memasuki bulan ke-19.

Neumeyer, 28 tahun berasal dari Colorado dan mempunyai kewarganegaraan ganda AS dan Jerman. Rekod mahkamah menunjukkan beliau telah meninggalkan AS ke Kanada pada awal Februari dan tiba di Israel pada akhir April.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN