AUSTIN: Kes demam campak di Texas meningkat sebanyak tiga peratus kepada 683 kes dalam tempoh tiga hari, menurut laporan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Negeri Texas pada Jumaat.
Jumlah itu menjadikan kes campak di seluruh negara menghampiri angka 1,000.
Sehingga 1 Mei, sebanyak 935 kes campak dilaporkan oleh 30 wilayah, dengan 12 wabak direkodkan tahun ini, menurut laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Para penyelidik memberi amaran AS kini berada di ambang kemunculan semula campak sebagai penyakit endemik, 25 tahun selepas diisytiharkan sudah dibasmi.
Jumlah kes di daerah Gaines iaitu pusat utama wabak, kekal 396 kes, menurut jabatan kesihatan negeri.
“Ada sedikit pengurangan dalam jumlah kes baharu, tetapi penting untuk dinyatakan apa yang berlaku ini bukan satu wabak tunggal,” kata Profesor Madya Caitlin Rivers dari Sekolah Kesihatan Awam Bloomberg, Universiti Johns Hopkins.
Beliau menambah walaupun beberapa daerah mungkin menunjukkan tanda-tanda penurunan, terdapat kawasan lain yang ‘baru mula memuncak’.
Seramai 89 pesakit dimasukkan ke hospital sepanjang wabak ini, menurut CDC.
Jabatan kesihatan New Mexico pula melaporkan 67 kes pada Jumaat, meningkat satu kes berbanding sebelumnya. Sebahagian besar kes di negeri itu adalah dari daerah Lea, yang bersempadan dengan Gaines di Texas.
Pegawai kesihatan Illinois pada Rabu mengesahkan dua kes campak di daerah Cook.
Pakar pediatrik dan penyakit berjangkit di ASt menyatakan usaha mengekang peningkatan kes campak di seluruh negara berdepan kesukaran akibat kurangnya gesaan terhadap vaksinasi oleh pegawai kesihatan.