ST ANDREWS: Sebuah kedai sandwic yang terkenal dengan idea unik di Scotland iaitu menawarkan ‘insurans serangan burung camar’ mengumpul dana lebih 3,000 pound (RM18,000) untuk disumbangkan kepada badan kebajikan.
Kedai The Cheesy Toast Shack, yang beroperasi di kawasan pantai di St Andrews, memperkenalkan skim insurans bernilai satu pound (RM5.80) kepada pelanggan bagi menggantikan makanan mereka secara percuma sekiranya ia ‘disambar’ oleh burung camar, satu pemandangan yang sering berlaku di kawasan itu.
Menurut pemiliknya, Kate Carter-Larg, 35, inisiatif itu bukan sahaja mencetuskan sambutan hangat dalam kalangan pelanggan, malah menjadi sumber kutipan amal yang luar biasa dan sejak diperkenalkan pada September lalu dengan 3,263 pound (RM18,767) dikumpulkan dan disalurkan kepada pelbagai badan kebajikan.
“Sumbangan paling bermakna ialah sebanyak 1,020 pound (RM 5,866) yang kami serahkan kepada Kajian Alzheimer UK sebagai penghormatan kepada mendiang ibu saya yang meninggal dunia dua hari selepas Krismas tahun lalu,” kata Kate.
Kedai kecil yang diusahakan bersama suaminya, Chris Larg, turut menyalurkan dana kepada pelbagai badan kebajikan lain termasuk PSC Support, Breast Cancer Now, Marie Curie, tabung makanan tempatan di St Andrews, sebuah badan amal berkaitan Multiple Sclerosis serta program agihan mainan sempena Krismas.
“Kami bangga sebagai perniagaan keluarga kecil, kami boleh buat keputusan sendiri tanpa perlu melalui birokrasi. Sejak awal lagi kami nekad untuk sumbangkan setiap sen daripada skim insurans ini kepada tujuan kebajikan,” ujarnya.
Meskipun tiada statistik rasmi berkenaan serangan camar setiap tahun, bandar Aberdeen sahaja menerima hampir 200 aduan tahunan berkaitan burung berkenaan termasuk serangan agresif, gangguan bising dan mencuri makanan daripada tangan pengunjung.
“Saya tidak mahu sesiapa pun melalui pengalaman diserang camar. Ada yang cedera di muka dan terseliuh buku lali akibat cuba mengelak serangan,” kata Kate, berkongsi antara insiden yang pernah disaksikannya.
Kate berkata, populariti kedai itu meningkat mendadak sejak skim tersebut tular dalam media sosial pada musim panas tahun lalu.