Katil tergantung pada ketinggian 100 meter jadi tarikan pelancong di China - Utusan Malaysia

Katil tergantung pada ketinggian 100 meter jadi tarikan pelancong di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHENZHOU: Sebuah tarikan pelancongan luar biasa di Taman Hutan Negara Mangshan, Wilayah Yizhang, Chenzhou, China menawarkan pengalaman unik apabila pengunjung boleh berehat di atas katil yang tergantung pada ketinggian 100 meter di tebing curam.

Dikenali sebagai ‘The Cliff Bed’, struktur unik ini dibina di pinggir tebing tinggi dan direka khas untuk pelancong yang mahu merasai gabungan rehat dan cabaran pada masa yang sama.

Beralaskan papan kayu dan dilengkapi tilam angin berkembar, selimut, serta bantal, katil itu turut menyediakan ruang kecil untuk meletakkan kasut dan secawan kopi.

Dalam satu rakaman video yang tular, seorang wanita kelihatan santai duduk di atas katil tersebut sambil menikmati secawan kopi dan menghayati pemandangan indah di sekelilingnya.

Dia turut tenang ketika merentangkan tangan dan menikmati suasana menakjubkan dari ketinggian yang menggerunkan itu namun begitu, pihak pengurusan menegaskan tarikan ini bukan bertujuan untuk tidur, sebaliknya untuk berehat seketika dan merakam gambar kenangan atau swafoto.

Beberapa syarat keselamatan ditetapkan bagi menjamin keselamatan pengunjung antaranya, pelancong wajib memakai abah-abah keselamatan yang diikat pada tali keselamatan dan dicangkukkan terus ke tebing.

Hanya individu yang mempunyai berat badan tidak melebihi 100 kilogram dan berketinggian kurang daripada 140 sentimeter dibenarkan mencuba pengalaman ekstrem ini serta mereka yang berusia lebih 60 tahun juga tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini.

Sebelum dibawa ke lokasi katil menggunakan kereta kabel, setiap pengunjung diwajibkan mengisi borang pengesahan kesihatan dan maklumat peribadi seperti berat, tinggi dan sejarah penyakit.

Menariknya, kos untuk menikmati pengalaman luar biasa ini sebanyak 10 pound (RM60), dan setiap pengunjung akan menerima secawan kopi secara percuma.

Menurut laporan media tempatan, tarikan ini mendapat sambutan hangat dan kakitangan memaklumkan mereka sentiasa sibuk melayan kunjungan orang ramai yang beratur untuk mencuba pengalaman mendebarkan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN