ATHENS: Seorang wanita di Greece memfailkan perceraian terhadap suaminya selepas aplikasi chatbot kecerdasan buatan (AI), ChatGPT, mendedahkan lelaki itu menjalin hubungan sulit hanya dengan menganalisis kesan kopi dalam cawan mereka.
Insiden luar biasa itu menjadi perhatian selepas si suami tampil dalam rancangan televisyen pagi popular Greece, To Proino, mendakwa rumah tangganya musnah gara-gara kepercayaan melulu isterinya terhadap ramalan AI.
Menurut lelaki berkenaan, isterinya mengikuti satu trend dalam media sosial yang menggunakan ChatGPT bagi membaca nasib melalui kesan kopi iaitu satu bentuk moden kepada seni ramalan tradisional dikenali sebagai tasseography.
Dalam eksperimen itu, isterinya membancuh kopi untuk mereka berdua sebelum mengambil gambar kesan kopi dalam cawan dan menghantarnya kepada ChatGPT untuk ditafsirkan.
“Saya hanya ketawa dan anggap ia perkara mengarut. Tapi isteri saya percaya bulat-bulat. Dia minta saya keluar dari rumah, beritahu anak-anak kami akan bercerai, dan beberapa hari kemudian saya terima panggilan daripada peguam,” katanya.
Lebih mengejutkan, ChatGPT didakwa menyatakan lelaki itu menyimpan perasaan terhadap seorang wanita misteri yang namanya bermula dengan huruf “E” dan dikatakan ditakdirkan menjalin hubungan dengan wanita tersebut disamping turut mendakwa wanita itu mahu menghancurkan rumahtangga mereka.
Tidak cukup dengan itu, tafsiran terhadap cawan kopi isterinya pula menyebut si suami sudah pun curang.
Hasil daripada ‘ramalan’ itu, wanita tersebut mengambil keputusan untuk memfailkan cerai hanya tiga hari kemudian, tanpa sebarang usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada suaminya.
Namun menurut peguam lelaki tersebut, tindakan isterinya akan ditentang di mahkamah kerana dakwaan yang dibuat oleh aplikasi AI tidak mempunyai sebarang nilai atau kedudukan sah dari sudut perundangan.
Kes ganjil itu yang tular di Greece turut mengundang reaksi daripada pakar tasseography, yang menjelaskan membaca kesan kopi bukan hanya tertumpu kepada tahi kopi semata-mata malah, pembacaan sebenar turut mengambil kira buih kopi dan juga keadaan piring, sesuatu yang jelas tidak dapat dilakukan oleh perisian AI seperti ChatGPT. – AGENSI