Israel dakwa jumpa mayat tentera hilang 43 tahun lalu di tengah Syria - Utusan Malaysia

Israel dakwa jumpa mayat tentera hilang 43 tahun lalu di tengah Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan mayat seorang anggotanya yang hilang sejak 43 tahun lalu ditemukan di tengah wilayah Syria dan dibawa pulang ke Israel menerusi satu operasi khas bersama agensi perisikan Mossad.

Dalam kenyataan rasmi, IDF memaklumkan, operasi rahsia itu menemui jasad Sarjan Kelas Pertama Tzvika Feldman, yang hilang sejak pertempuran di Sultan Yacoub pada tahun 1982 ketika berlakunya pertempuran hebat antara tentera Israel dan Syria di wilayah Lembah Bekaa, Lubnan, berhampiran sempadan Syria.

“Dalam satu operasi khas yang diketuai IDF dan Mossad, mayat Sarjan Kelas Pertama Tzvika Feldman ditemui di tengah Syria dan telah dibawa pulang ke tanah air,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berasingan memuji usaha berterusan yang dilakukan bagi mengesan mayat Feldman serta dua lagi askar yang hilang dalam pertempuran sama, iaitu Zechariah Baumel dan Yehuda Katz.

“Kira-kira enam tahun lalu, kita membawa pulang Zechariah Baumel untuk pengebumian secara Yahudi. Hari ini, kita telah kembalikan Tzvika, semoga rohnya diberkati. Kita tidak akan berhenti berusaha untuk membawa pulang Yehuda Katz, yang masih hilang dalam pertempuran tersebut,” kata Netanyahu yang turut memaklumkan beliau telah menghubungi ibu bapa Feldman untuk menyampaikan berita tersebut secara peribadi.

Menurut IDF, proses pengecaman mayat Feldman dilakukan oleh Pusat Pengecaman Genomik Anggota Gugur di bawah Rabbinate Tentera, namun butiran lanjut mengenai bagaimana jasadnya ditemui di kawasan pedalaman Syria tidak didedahkan.

“Pemulangan mayat Feldman hanya dapat dilaksanakan menerusi satu operasi sulit dan kompleks yang digerakkan berdasarkan maklumat risikan tepat serta keupayaan taktikal yang memerlukan keberanian dan kebijaksanaan luar biasa,” jelas kenyataan itu.

Operasi tersebut menandakan penutup kepada usaha risikan dan ketenteraan yang telah berlangsung selama lebih empat dekad.

Ia melibatkan kerjasama erat antara Koordinator Tawanan dan Orang Hilang di Pejabat Perdana Menteri Israel, unit risikan dan operasi dalam Mossad serta Direktorat Risikan IDF, Shin Bet dan Direktorat Sumber Manusia IDF. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN