India, Pakistan saling menuduh lancar serangan beberapa jam selepas gencatan senjata - Utusan Malaysia

India, Pakistan saling menuduh lancar serangan beberapa jam selepas gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: India dan Pakistan saling menuduh melanggar gencatan senjata yang dipersetujui pada awal hari ini, beberapa jam selepas kedua-dua negara mengumumkannya semalam.

Kedua-dua negara jiran berkuasa nuklear itu berusaha mengelak daripada tercetusnya perang besar-besaran, namun masing-masing terus melaporkan mengenai serangan di kawasan sempadan.

Setiausaha Luar India berkata, negaranya bertindak balas selepas Pakistan ‘berulang kali melanggar’ perjanjian gencatan senjata.

Pakistan pula menyatakan pihaknya ‘komited’ kepada perjanjian dan angkatan bersenjatanya menangani pelanggaran oleh India dengan ‘bertanggungjawab dan berhemahh.

Petugas AFP di Srinagar, di wilayah Kashmir yang ditadbir India, melaporkan bunyi letupan kuat kedengaran.

Seorang pegawai kanan di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan memberitahu AFP ‘tembakan bertalu-talu masih berterusan’ di sepanjang sempadan de facto kawasan itu, Garisan Kawalan (LoC).

Maklumat lanjut belum diperoleh, dan dakwaan daripada kedua-dua pihak tidak dapat disahkan secara bebas.

Pada Sabtu, Pakistan dan India bersetuju melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya serta-merta selepas beberapa hari serangan maut menggunakan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan artileri.

Pertempuran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang serta menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri dari kawasan sempadan dan Kashmir yang terbahagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN