NEW DELHI: India mengumumkan penggantungan serta-merta terhadap import, perkhidmatan pos dan perhubungan maritim dengan Pakistan susulan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Menurut notis rasmi yang dikeluarkan New Delhi, larangan tersebut berkuat kuasa serta-merta atas dasar keselamatan negara dan dasar awam.
Import secara langsung atau tidak langsung, serta transit semua barangan yang berasal atau dieksport dari Pakistan adalah dilarang serta-merta sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan India yang dikeluarkan lewat Jumaat.
Dalam pengumuman berasingan, India turut menghentikan semua kategori mel dan bungkusan masuk dari Pakistan melalui udara dan darat, serta melarang kapal-kapal berdaftar Pakistan daripada memasuki pelabuhan India.
Kapal India juga tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan Pakistan.
Tindakan terbaharu New Delhi itu dibuat ketika ketegangan terus meningkat selepas serangan di pusat peranginan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir India bulan lalu yang mengorbankan 26 orang.
India menyalahkan Pakistan, mendakwa serangan tersebut mempunyai pautan rentas sempadan namun Islamabad menafikannya dan menawarkan siasatan neutral dengan pemantauan pihak ketiga.
Kedua-dua negara turut mengambil langkah membatalkan visa dan memanggil pulang kakitangan diplomatik masing-masing.
India turut menggantung penyertaannya dalam Perjanjian Air Indus 1960, satu perjanjian pembahagian sumber air utama antara kedua-dua negara.-AGENSI