LONDON: Pakar memberi amaran Generasi Z dan Milenial merupakan kumpulan umur yang paling berisiko dilanggar kereta api kerana terlalu leka dengan telefon bimbit.
Ini susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didedahkan Network Rail, memaparkan pejalan kaki leka dengan telefon bimbit ketika melalui landasan kereta api.
Sepanjang empat tahun lalu, sebanyak 1,574 insiden nyaris kemalangan direkodkan melibatkan pejalan kaki di lintasan kereta api.
Dalam tempoh sama, insiden tersebut meningkat purata sebanyak 16 peratus dari bulan April hingga Mei.
Telefon bimbit merupakan punca utama gangguan, yang paling memberi kesan kepada golongan muda.
Kajian menunjukkan Generasi Z enam kali lebih berkemungkinan mengalami kemalangan akibat gangguan oleh telefon berbanding golongan berusia.
Data baharu mendedahkan hampir separuh daripada 47 peratus individu mengaku pernah melakukan kesalahan akibat terganggu oleh telefon.
Golongan muda dilihat paling terkesan, dengan 87 peratus daripada Gen Z dan 70 peratus Milenial mengaku pernah mengalami kejadian tidak diingini disebabkan gangguan tersebut.
Kajian menunjukkan 47 peratus daripada Gen Z pernah terlanggar sesuatu atau seseorang kerana terlalu leka melihat peranti.
Sementara itu, hanya tujuh peratus daripada golongan Boomer, mereka yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964, mengaku pernah melanggar seseorang semasa menggunakan telefon.- AGENSI