STOCKHOLM: Polis Sweden menahan enam individu berkaitan kes tiga remaja yang maut dalam satu kejadian tembakan di sebuah salun rambut di bandar Uppsala, menurut Pejabat Pendakwa Raya Negara.
Mereka yang ditahan berusia antara bawah 18 tahun hingga 45 tahun yang mana seorang daripada mereka disyaki sebagai individu yang melepaskan tembakan dalam kejadian pada malam Selasa lalu.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang sebelum ini ditahan beberapa jam selepas kejadian dibebaskan pada Jumaat.
Tiga mangsa yang terbunuh dalam serangan itu berusia antara 15 hingga 20 tahun.
Kejadian berlaku menjelang sambutan perayaan musim bunga Walpurgis ketika orang ramai membanjiri jalan-jalan di Uppsala.
Polis kini menyiasat kemungkinan insiden tembakan tersebut berkait dengan aktiviti jenayah berkumpulan.
Bapa kepada seorang mangsa memberitahu penyiar awam STV, anak lelakinya yang berusia 15 tahun memintanya memindahkan wang untuk ke salun rambut sempena sambutan Walpurgis dan ia adalah kali terakhir beliau mendengar khabar daripada anaknya.
“Dia seorang anak yang baik, tetapi berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Ini boleh berlaku kepada sesiapa saja,” kata bapanya.
Menurut laporan media tempatan, seorang mangsa yang terbunuh dikenali pihak polis dan pernah terlibat dalam siasatan berkaitan serangan yang dirancang ke atas saudara mara ketua geng Ismail Abdo.
Bagaimanapun, tiada pertuduhan dikenakan ke atasnya.
Uppsala, sebuah bandar universiti di utara Stockholm, sudah lama menjadi pangkalan kepada Ismail Abdo dan ketua geng saingannya, Rawa Majida.
Perang perebutan wilayah antara mereka memasuki episod baharu pada 2023 apabila ibu Abdo dibunuh di kediamannya.
Sweden kini dilanda gelombang jenayah geng melibatkan remaja sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan suspek didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk vandalisme dan pembunuhan.
Bagi menangani isu ini, kerajaan Sweden mencadangkan rang undang-undang baharu yang membolehkan polis memintas komunikasi kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.