Dua maut akibat demam selepas makan daging babi mentah di Thailand - Utusan Malaysia

Dua maut akibat demam selepas makan daging babi mentah di Thailand

Somsak Thepsuthin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesahkan dua kematian akibat wabak demam akibat makan daging babi mentah yang kini menular di wilayah Phrae, manakala satu kes kematian berkaitan antraks turut direkodkan di wilayah Mukdahan.

Menteri Kesihatan Awam, Somsak Thepsuthin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 14 kes jangkitan demam daging babi mentah disahkan di Phrae, dengan dua daripadanya membawa maut.

Punca utama penularan wabak itu dikaitkan dengan pengambilan hidangan daging babi mentah, antaranya masakan tradisional tempatan yang dikenali sebagai ‘larb moo’.

Simptom yang lazim dikesan termasuk demam panas melampau serta sakit otot, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah memakan atau mengendalikan daging babi mentah.

Mereka yang berisiko dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan dan memaklumkan sejarah pemakanan kepada petugas kesihatan, kerana jangkitan yang tidak dirawat boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti kehilangan pendengaran kekal.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga kes antraks telah dikesan di wilayah Mukdahan dengan satu kematian dilaporkan manakala dua lagi pesakit kini dirawat di Hospital Mukdahan dan Hospital Don Tan.

Seramai 636 individu disahkan terdedah kepada risiko jangkitan antraks, namun 538 daripada mereka telah melepasi tempoh pemerhatian selama tujuh hari yang lazim bagi gejala kulit dan gastrointestinal manakala baki 98 individu masih dipantau rapi dan telah diberikan ubat Doxycycline selama tujuh hari sebagai langkah pencegahan.

Menteri berkenaan turut menegaskan supaya semua pihak, termasuk Jabatan Kawalan Penyakit dan pegawai kesihatan di peringkat wilayah, meneruskan pemantauan rapi terhadap situasi semasa meskipun tempoh inkubasi bagi antraks telah tamat.

Langkah ini penting bagi memastikan kestabilan keadaan dan mengurangkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand kini bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memantau keadaan dan memberikan jaminan kepada orang ramai pihak berkuasa mampu mengawal serta menangani penularan penyakit ini dengan berkesan. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya