Dakwa perang Gaza kurangkan obesiti, advokasi UK dikecam

Dakwa perang Gaza kurangkan obesiti, advokasi UK dikecam

KANAK-KANAK Palestin beratur mendapatkan makanan yang disediakan badan amal di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah kumpulan advokasi pro-Israel yang berpangkalan di United Kingdom (UK), UK Lawyers for Israel (UKLFI), dikecam hebat selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi pengurangan kadar obesiti akibat perang di Gaza mungkin menyumbang kepada peningkatan jangka hayat penduduk wilayah itu.

UKLFI yang turut disokong tokoh-tokoh ternama seperti bekas hakim Mahkamah Agung, John Dyson, bekas pemimpin Parti Konservatif, Michael Howard dan peguam kanan terkenal, David Pannick KC, mengemukakan pandangan tersebut menerusi surat rasmi kepada Kumpulan Koperasi UK.

Ketua Pegawai Eksekutif UKLFI, Jonathan Turner dalam suratnya kepada setiausaha kumpulan koperasi itu turut menggesa usul untuk menghentikan penjualan produk Israel ditarik balik, dengan mempersoalkan angka anggaran 186,000 kematian yang dinyatakan dalam usul tersebut.

Beliau mendakwa angka itu palsu dan mengelirukan kerana ia bersandarkan kepada sebuah surat yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet tahun lalu, yang menjangkakan jumlah kematian termasuk kesan tidak langsung daripada perang.

“Surat (The Lancet) itu juga tidak mengambil kira faktor yang mungkin meningkatkan jangka hayat purata penduduk Gaza, memandangkan satu daripada isu kesihatan utama di Gaza sebelum perang adalah obesiti,” ujar Turner.

Kenyataan itu dibuat dalam suasana kemanusiaan semakin meruncing di Gaza, dengan lebih 52,000 kematian direkodkan sejak serangan Israel bermula susulan insiden 7 Oktober 2023.

Satu kajian berasingan oleh The Lancet juga mendapati jangka hayat di Gaza menurun sebanyak 34.9 tahun dalam tempoh 12 bulan pertama perang, iaitu hampir separuh daripada jangka hayat sebelum perang iaitu 75.5 tahun.

Pengarah Kempen Solidariti Palestin (PSC), Ben Jamal menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Ketika kanak-kanak di Gaza berdepan kebuluran, penyakit dan kematian, kenyataan ketua UKLFI adalah amat menjijikkan. Kenyataan ini mencerminkan betapa rendahnya moral penyokong Israel,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN