JAKARTA: Sejak pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia, beberapa pemimpin wilayah termasuk gabenor dan datuk bandar mula melaksanakan pelbagai dasar yang menimbulkan perdebatan.
Ada di antara dasar tersebut disifatkan sebagai pelik, kontroversi dan bercanggah dengan pendekatan nasional.
Seperti di Jawa Barat, kem latihan disiplin yang melibatkan pihak tentera dan polis Indonesia diperkenalkan untuk pelajar sekolah yang dianggap mempunyai masalah disiplin serta sosial.
Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi percaya pendekatan ketenteraan mampu mendisiplinkan pelajar bermasalah.
Beliau memperuntukkan enam bilion rupiah (RM1.56 juta) untuk program selama 14 hari yang menyasarkan sehingga 2,000 pelajar.
Bagaimanapun, program menggunakan pos tentera wilayah itu, mendapat kritikan daripada beberapa ahli Parlimen dan kumpulan hak asasi manusia, yang mempersoalkan sama ada langkah tersebut relevan dalam mendidik pelajar.
Dedi menolak kritikan tersebut dan kekal mempertahankan keputusannya melaksanakan dasar itu.
Selain program latihan untuk remaja bermasalah, beliau turut mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan golongan suami yang ingin menerima bantuan sosial menjalani prosedur vasektomi bagi memastikan mereka tidak mempunyai ramai anak dan menambah beban kemiskinan.
Katanya, ia juga merupakan cara untuk lelaki turut serta dalam perancangan keluarga kerana beban itu tidak seharusnya ditanggung wanita sahaja.
Dengan populasi sekitar 50 juta orang, Jawa Barat merupakan wilayah paling padat di Indonesia, dan kira-kira 7.5 peratus daripada penduduknya hidup dalam kemiskinan.
Dedi menawarkan insentif tunai sebanyak 500,000 rupiah (RM129.82) kepada mereka yang bersetuju menjalani vasektomi.
Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai, tokoh Islam dan menteri, yang menganggapnya bersifat diskriminasi serta bentuk pencabulan terhadap hak individu.
SWAFOTO PENJAWAT AWAM
Dedi bukan satu-satunya pemimpin tempatan di Indonesia yang dasar dan programnya menerima reaksi skeptikal.
Seperti beliau, beberapa pemimpin lain turut mencetuskan perdebatan sejak Indonesia memilih 961 gabenor, bupati dan datuk bandar pada 27 November tahun lalu serta mengangkat sumpah pada 20 Februari lepas.
Di Jakarta, Gabenor Pramono Anung mewajibkan kakitangan kerajaan menggunakan pengangkutan awam setiap hari Rabu sejak 30 April, dan mengambil swafoto sebagai bukti.
Program itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu negara serta usaha menangani pencemaran udara.
Namun setakat ini, tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap kira-kira 50,000 penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
Pramono juga merancang memperuntukkan sebuah pulau di wilayah Kepulauan Seribu Jakarta bagi menyelesaikan masalah kucing terbiar.
Menurut kerajaan Jakarta, bandar itu mempunyai kira-kira 860,000 kucing terbiar, mungkin mencecah 1.5 juta ekor, sementara populasi penduduk dianggarkan sekitar 11 juta orang.
Kepulauan Seribu akan diubah menjadi destinasi pelancongan, yang turut mencipta peluang pekerjaan tempatan.
Di Sulawesi, Ketua Daerah Gorontalo, Sofyan Puhi, pada April lalu mengharamkan golongan transgender daripada menyanyi di atas pentas semasa acara.
Kerajaan Gorontalo menegaskan, tindakan itu diambil sebagai respons kepada aduan awam yang mendakwa persembahan transgender melanggar norma sosial Indonesia.
SELARAS MATLAMAT PRABOWO
Walaupun pemimpin wilayah mempunyai autonomi mencipta program mereka sendiri, penganalisis berkata, sesetengah inisiatif baharu menimbulkan persoalan sama ada penyelarasan lebih erat diperlukan dengan kerajaan pusat supaya selari dengan matlamat Prabowo.
Pakar dasar awam dari Universiti Trisakti Jakarta, Trubus Rahadiansyah berkata, tidak menghairankan jika beberapa pemimpin cuba menjadi inovatif dan memperkenalkan skim yang kelihatan populis dalam 100 hari pertama tempoh perkhidmatan mereka.
Ini kerana, mereka mahu meyakinkan rakyat mengenai kemampuan dan meningkatkan populariti masing-masing, terutama jika berhasrat untuk bertanding semula dalam pilihan raya 2029, katanya.
“Dan ini perlu dilakukan lebih awal supaya rakyat yakin mereka mempunyai pemimpin yang baik dan menunaikan janji kempen,” katanya.
Bagaimanapun, Trubus mengingatkan pemimpin harus berpegang dengan matlamat Prabowo, dengan merangka pelan menyeluruh, matang serta selaras rancangan Presiden.
Matlamat Prabowo dirangkumkan dalam lapan visi dan misinya, Asta Cita, meliputi usaha memperkukuh demokrasi, ideologi negara Pancasila dan hak asasi manusia, memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara, mewujudkan peluang pekerjaan serta membangunkan sumber manusia dan kesaksamaan gender.
Asta Cita merangkumi rantaian bekalan komoditi supaya Indonesia dapat memanfaatkan lebih banyak sumber mineralnya, membangunkan kampung, reformasi politik dan memerangi rasuah.










