LONDON: Sebuah agensi penyelidikan rahsia milik kerajaan United Kingdom (UK) dikenali sebagai Aria memperuntukkan 57 juta pound (RM340 juta) bagi membiayai pelbagai projek geo-kejuruteraan yang bertujuan memperlahankan pemanasan global termasuk usaha mencipta teknologi bagi memalapkan cahaya matahari.
Agensi yang dikenali sebagai Advanced Research and Invention Agency (ARIA) itu turut merancang satu kaedah dikenali sebagai Marine Cloud Brightening, iaitu menyembur air laut ke langit bagi meningkatkan keupayaan awan rendah memantulkan cahaya matahari.
Kaedah ini dijangka mengurangkan jumlah cahaya yang sampai ke permukaan bumi.
Ketua Eksekutif ARIA, Ilan Gur berkata, dunia kini berlumba dengan masa untuk mengelakkan kerosakan besar terhadap bumi akibat perubahan iklim yang semakin membimbangkan namun, sebilangan pakar memberi amaran eksperimen luar seperti ini, yang dijangka bermula dalam tempoh lima tahun akan datang, berisiko membawa kesan sampingan yang tidak diingini kepada sistem cuaca global.
ARIA yang berpangkalan di London, ditubuhkan pada tahun 2021 hasil cetusan idea bekas Ketua Penasihat Perdana Menteri UK, Dominic Cummings, dan diluluskan semasa era Kwasi Kwarteng sebagai Setiausaha Perniagaan.
Agensi itu diperuntukkan bajet mencecah £800 juta (RM4.8 bilion) wang pembayar cukai untuk membiayai projek penyelidikan saintifik berisiko tinggi tetapi berpotensi memberi pulangan besar.
Menerusi laman webnya, ARIA menyatakan ia menyokong penyelidikan yang terlalu spekulatif atau terlalu sukar untuk dibiayai oleh badan pembiayaan konvensional.
Projek lain yang turut dibiayai termasuk tumbuhan boleh atur untuk menyerap karbon dioksida serta robot pintar bagi membantu mengatasi krisis tenaga kerja.
Projek Marine Cloud Brightening hanyalah satu daripada 21 projek geo-kejuruteraan yang menerima peruntukan daripada ARIA, dengan lima projek daripadanya bakal melibatkan ujian lapangan terbuka.
Satu lagi projek yang dipimpin Universiti Cambridge melibatkan kajian awal terhadap potensi suntikan aerosol ke stratosfera (SAI), tetapi buat masa ini bahan tidak akan dilepaskan ke udara dan akan dikembalikan semula ke tanah untuk dianalisis nun, beberapa pakar iklim bimbang usaha-usaha berisiko tinggi ini boleh gagal atau mendatangkan kesan buruk terhadap cuaca dunia. – AGENSI