BANGKOK: Sebanyak 17 waran tangkap dikeluarkan oleh sebuah mahkamah di Thailand terhadap individu yang terlibat dalam pembinaan sebuah pencakar langit yang runtuh akibat gempa bumi pada Mac lalu.
Menara setinggi 30 tingkat yang sedang dibina untuk menempatkan Pejabat Audit Negara itu runtuh ketika gegaran akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar dan turut dirasai di Bangkok.
Pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 89 mayat ditemui di tapak runtuhan manakala tujuh individu masih belum dapat dikesan.
Menurut laporan media tempatan, siasatan polis mendapati waran tangkap itu melibatkan mereka yang terlibat dalam reka bentuk, pembinaan dan penyeliaan projek bangunan berkenaan.
Polis hanya mendedahkan satu nama setakat ini iaitu ahli perniagaan Premchai Karnasuta, bekas presiden syarikat pembinaan gergasi Thailand, Italian-Thai Development PLC.
Media Thailand pada Khamis melaporkan siasatan awal mendapati terdapat kecacatan struktur pada ruang lif bangunan tersebut. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengumumkan laporan penuh punca runtuhan tersebut.
Rakaman video menunjukkan bangunan tinggi di sekitar Bangkok bergoyang manakala air dari kolam di bumbung bangunan mencurah ke jalan akibat gegaran kuat tersebut.
Sebahagian besar bangunan di ibu negara Thailand tidak mengalami kerosakan besar kecuali menara Pejabat Audit Negara, sebuah bangunan kaca dan keluli biru yang terletak berhadapan salah satu tarikan pelancongan utama, Pasar Chatuchak.
Bangunan itu dibina selama tiga tahun dengan kos melebihi dua bilion baht Thailand (RM8 juta), namun akhirnya musnah menjadi runtuhan.
Lebih 400 pekerja berada di tapak semasa kejadian berlaku. Operasi menyelamat melibatkan penggunaan dron, anjing pengesan, kren dan jentera pengorek bagi mencari mangsa.