AS, Ukraine tandatangani perjanjian mineral dalam usaha akhiri perang dengan Russia - Utusan Malaysia

AS, Ukraine tandatangani perjanjian mineral dalam usaha akhiri perang dengan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine menandatangani satu perjanjian berkaitan sumber mineral selepas tertangguh selama dua bulan.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai bentuk komitmen baharu Washington terhadap Kyiv selepas bantuan ketenteraan menentang Russia ditamatkan.

Ukraine berkata, pihaknya terus mempertahankan kepentingan utama selepas rundingan panjang, termasuk mengekalkan kedaulatan penuh terhadap unsur nadir buminya yang penting untuk teknologi baharu dan sebahagian besarnya masih belum diterokai.

Trump pada awalnya menuntut hak ke atas kekayaan mineral Ukraine sebagai pampasan terhadap berbilion dolar bantuan senjata AS yang dihantar ketika pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden, selepas pencerobohan Russia lebih tiga tahun lalu.

Mengumumkan pemeteraian perjanjian itu di Washington, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata ia menunjukkan komitmen kedua-dua pihak terhadap keamanan dan kemakmuran yang berkekalan di Ukraine.

“Perjanjian ini jelas menghantar isyarat kepada Russia bahawa pentadbiran Trump komited terhadap proses damai yang berteraskan ‘Ukraine yang bebas, berdaulat dan makmur untuk jangka panjang’.

“Untuk menjelaskan kepada umum, tiada negara atau individu yang membiayai atau membekalkan mesin perang Russia akan dibenarkan meraih manfaat daripada usaha pembinaan semula Ukraine,” kata Bessent.

Di Kyiv, Perdana Menteri, Denys Shmygal menerusi siaran televisyen nasional berkata perjanjian itu adalah baik, seimbang dan memberi manfaat

Dalam satu hantaran di Telegram, Shmygal memaklumkan kedua-dua negara akan menubuhkan Tabung Pelaburan Pembinaan Semula dengan hak mengundi 50 peratus bagi setiap pihak.

“Ukraine mengekalkan kawalan penuh terhadap tanah, infrastruktur dan sumber asli negara,” katanya.

Menjawab kebimbangan utama Kyiv, beliau menegaskan Ukraine tidak diminta membayar sebarang hutang bagi berbilion dolar bantuan senjata dan sokongan lain yang diterima sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.

Menteri Ekonomi Ukraine, Yulia Svyrydenko dalam satu hantaran di Facebook berkata perjanjian itu akan membiayai projek mineral, minyak dan gas serta infrastruktur atau pemprosesan berkaitan.

Trump sebelum ini enggan menawarkan jaminan keselamatan kepada Ukraine dan menolak hasrat negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Namun semalam, Trump berkata kehadiran AS di Ukraine akan memberi manfaat kepada negara terbabit. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya