WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mewujudkan satu lagi zon ketenteraan di sepanjang sempadan Mexico iaitu di Texas yang membolehkan tentera menahan pendatang tanpa izin atau penceroboh.
Langkah ini adalah sebahagian daripada kempen penguatkuasaan imigresen yang agresif oleh Presiden Donald Trump, termasuk menambah bilangan anggota tentera di sempadan selatan dan berikrar menghantar pulang jutaan pendatang tanpa dokumen yang sah.
Pada April lalu, pentadbiran Trump mengisytiharkan satu kawasan berukuran 60 kaki lebar dan 170 batu panjang (18 meter x 270 kilometer) di pangkalan sempadan New Mexico sebagai Kawasan Pertahanan Negara.
Terbaharu, tentera AS mengumumkan penubuhan Kawasan Pertahanan Negara Texas di kawasan sepanjang 63 batu (kira-kira 101 kilometer) yang merentangi timur dari sempadan Texas-New Mexico di El Paso, pada Khamis.
Menurut Jabatan Pertahanan AS, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) kekal memegang bidang kuasa terhadap pelanggaran sempadan secara haram, dan anggota tentera akan menyerahkan pendatang yang ditahan kepada agensi itu atau pihak penguatkuasa undang-undang sivil yang lain.
Penubuhan zon ini membolehkan pentadbiran Trump menggunakan tentera untuk menahan pendatang tanpa perlu mengaktifkan Akta Pemberontakan 1807 yang memberi kuasa kepada presiden untuk mengerahkan tentera dalam mengekang kekacauan awam.
Seramai 11,900 anggota tentera dikerahkan ke kawasan sempadan menyaksikan jumlah tangkapan pendatang yang cuba memasuki AS secara haram pada bulan Mac mencatatkan paras terendah.
Gabenor Texas, Gregg Abbott daripada Parti Republikan, pada Khamis memuat naik gambar pembinaan pagar berduri di sempadan sambil mengatakan Texas terus bekerjasama dengan pentadbiran Trump untuk menghentikan kemasukan migran haram.
Sementara itu, Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham dari Parti Demokrat, menentang zon yang disifatkannya sebagai ‘zon penampan pengusiran’ di negerinya.