WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap sejumlah entiti yang dikaitkan dengan perdagangan haram petroleum dan petrokimia dengan Iran.
Sekatan itu dilakukan menjelang pusingan baharu rundingan nuklear antara AS dan Iran pada Sabtu ini.
Jabatan Negara AS dalam kenyataan berkata, mereka mengenakan sekatan terhadap tujuh entiti yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Iran, selain dua kapal juga menjadi sasaran.
Setiausaha Negara AS menerusi kenyataan berasingan pula memberitahu, sekatan itu menyasarkan empat penjual dan seorang pembeli bahan petrokimia Iran yang bernilai ratusan juta dolar.
Sekatan itu merupakan langkah terbaharu yang menyasarkan Teheran sejak Presiden Donald Trump ‘menyambung semula’ kempen menekan Iran.
Pentadbiran Trump berusaha keras untuk menyekat pembangunan senjata nuklear oleh Iran.
“Presiden komited membanteras perdagangan haram melibatkan minyak dan petrokimia Iran yang turut dieksport ke China menerusi kempen tekanan maksimum,” kata Rubio.
Dalam pada itu, Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York tidak memberi reaksi berhubung perkara tersebut.
Washington sebelum ini melancarkan semula rundingan dengan Iran mengenai program nuklearnya dengan wakil kedua-dua negara dijangka mengadakan rundingan pusingan terbaharu pada Sabtu ini di Rom.
Dalam penggal pertamanya pada 2017 hingga 2021, Trump mengeluarkan AS daripada perjanjian penting yang mengekang program nuklear Iran dan sebagai pertukara, Washington perlu melepaskan sekatan terhadap Iran.
Keputusan Trump itu menyaksikan Iran mengabaikan tujuan perjanjian berkenaan dan terus membangunkan program nuklearnya.
AS pula mengenakan semula pelbagai sekatan untuk menghalang Iran.
Kuasa Barat menuduh Iran mempunyai agenda rahsia dengan memperkayakan pengeluaran uranium sehingga ke peringkat tertinggi, namun disangkal Teheran yang menegaskan program itu hanya sebagai pertahanan Iran.