NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi amaran New Delhi tidak akan teragak-agak melancarkan serangan terhadap ‘sarang pengganas’ di seberang sempadan sekiranya berlaku serangan baharu ke atas India, sambil menuduh Pakistan menggunakan ‘ugutan nuklear’ sebagai perlindungan.
Amaran itu merupakan kenyataan awam pertama oleh Modi selepas pasukan tentera India melancarkan serangan terhadap apa yang didakwa sebagai kem-kem pengganas di wilayah Pakistan minggu lalu, sekali gus menunjukkan pendirian India yang semakin keras terhadap jirannya itu.
Bagaimanapun, Pakistan menafikan tuduhan ia menyokong kumpulan militan yang menyerang India dan mendakwa lokasi yang dibedil sebenarnya adalah kawasan awam.
Kenyataan Modi itu dibuat hanya dua hari selepas kedua-dua negara bersetuju mengadakan gencatan senjata, yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Gencatan senjata itu dicapai selepas empat hari pertempuran sengit termasuk serangan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan tentera masing-masing, yang mengorbankan berpuluh-puluh orang awam.
Konflik bermula Rabu lalu apabila India melancarkan serangan terhadap sembilan “kem infrastruktur pengganas” di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Islamabad, susulan serangan berdarah ke atas pelancong Hindu di Kashmir yang dikuasai India bulan lalu yang meragut 26 nyawa.
Islamabad menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut dan menyeru agar siasatan bebas dijalankan.
“Sekiranya berlaku serangan pengganas ke atas India, jawapan setimpal akan diberikan mengikut syarat kami sendiri.
“India akan menyerang secara tepat dan tegas ke atas sarang pengganas yang wujud di bawah perlindungan ugutan nuklear,” kata Modi dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.
India yang majoriti penduduknya beragama Hindu dan Pakistan yang majoriti Muslim sama-sama menuntut keseluruhan wilayah Kashmir sejak pemisahan pada 1947, dan telah berperang sebanyak dua kali atas isu berkenaan, selain beberapa konflik kecil termasuk pada 2016 dan 2019.