‘AirBike’ gaya Star Wars diperkenal, laju cecah 200 kilometer sejam

‘AirBike’ gaya Star Wars diperkenal, laju cecah 200 kilometer sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSZAWA: Sebuah syarikat dari Poland mencipta kejutan apabila memperkenalkan sebuah motosikal terbang ala Star Wars yang dikatakan pertama seumpamanya di dunia, mampu meluncur di udara dengan kelajuan sehingga 200 kilometer sejam.

Dikenali sebagai AirBike, kenderaan yang dibangunkan oleh syarikat teknologi, Volonaut, itu tidak menggunakan bilah kipas seperti hoverbike konvensional, sebaliknya beroperasi menggunakan kuasa jet sepenuhnya.

Menurut pengasas Volonaut, Tomasz Patan, projek itu kini sudah memasuki peringkat ujian awal.

AirBike, yang digambarkan sebagai ‘jentera superbike untuk angkasa’, menggunakan sistem pemacu jet khas bersama komputer kawalan penerbangan yang menjamin kestabilan serta kawalan automatik ketika terapung.

“Rekaan inovatif ini banyak persamaan dengan motosikal terbang yang pernah dilihat dalam filem sains fiksyen seperti Star Wars,” kata Volonaut dalam kenyataan.

Tambah syarikat itu lagi, rekaan semasa AirBike adalah hasil pelbagai siri prototaip yang mengalami kegagalan sebelum ini, namun akhirnya berjaya menghasilkan versi stabil yang mencatat penerbangan sulung pada Mei 2023 di Poland.

Bagaimanapun, harga pasaran dan jadual pengeluaran masih belum diumumkan buat masa ini.

Berita ini muncul dalam minggu yang mengujakan peminat Star Wars, selepas laporan berasingan menyebut teknologi seperti warp drive yang membolehkan kapal angkasa merentasi galaksi sepantas kilat kini sedang dikaji secara serius oleh NASA.

Teknologi itu diinspirasikan daripada teori fizik Albert Einstein yang menyatakan tiada objek bermassa boleh melebihi kelajuan cahaya kerana jisimnya akan menjadi infiniti.

Walaupun belum mampu membawa manusia merentas galaksi, teknologi ini dilihat sebagai titik permulaan ke arah perubahan besar dalam penerokaan angkasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN