HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan 70 peratus daripada Semenanjung Gaza kini dalam zon ketenteraan Israel, sama ada di bawah arahan pemindahan atau kedua-duanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap PBB, Farhan Haq, dalam satu sidang akhbar menyuarakan kebimbangan terhadap halangan berterusan bagi penyaluran bantuan berikutan sekatan Israel.
“Rakan kongsi PBB yang bekerja untuk menyokong telekomunikasi di Gaza memberitahu kami bahawa kabel gentian optik sudah rosak selama lebih daripada enam minggu.
“Namun, pihak berkuasa Israel terus menafikan permintaan untuk membenarkan penyelarasan, supaya pihak kami dapat membaikinya.
“Penolakan terbaharu (oleh Israel) adalah pada pagi Jumaat. Kabel ini sumber penyambungan data yang kritikal untuk bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan PBB masih bergelut untuk mendapatkan akses yang konsisten terhadap bahan api.
Katanya, pasukan PBB yang diketuai Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) turut melaporkan sudah mendapatkan beberapa bekalan dari stesen minyak di Rafah selepas pihak berkuasa Israel memberi kebenaran.
“Masuk hari kedua berturut-turut kami dibenarkan untuk mendapatkan semula minyak dari Rafah selepas hampir tiga minggu (tidak dibenarkan berbuat demikian),” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bekalan itu ‘hanya sedikit berbanding keperluan yang besar’, sekali gus menekankan keperluan pihak berkuasa Israel untuk memudahkan pergerakan kemanusiaan di dalam Gaza.
“Sebanyak 70 peratus daripada Semenanjung Gaza adalah sama ada dalam zon ketenteraan tentera Israel, di bawah arahan pemindahan atau di kawasan di mana kedua-duanya bertindih,” katanya.