RAMALLAH: Sebanyak 507,000 rakyat Palestin di Tebing Barat menganggur susulan krisis ekonomi berpanjangan dan sekatan yang dikenakan terhadap penduduk di wilayah tersebut, menurut Persekutuan Am Kesatuan Pekerja Palestin dalam kenyataan sempena Hari Pekerja Sedunia.
Setiausaha Agung kesatuan, Shaher Saad berkata, ratusan ribu rakyat Palestin mula hilang sumber pendapatan sejak 17 bulan lalu, manakala ribuan yang lain terkorban dalam usaha mencari rezeki di kawasan yang dikawal rejim Zionis.
“Ribuan pekerja ditangkap, diseksa, hilang tanpa dapat dikesan dan dikenakan denda oleh tentera Israel hanya kerana mereka berusaha mencari nafkah, terutamanya selepas insiden 7 Oktober 2023,” katanya.
Beliau berkata, ramai pekerja Palestin kini terpaksa menjual harta peribadi bagi meneruskan hidup berikutan tekanan ekonomi yang semakin meruncing.
“Sekitar 89 peratus daripada pekerja Palestin tidak mempunyai akses kepada perlindungan sosial atau dana pencen,” katanya sambil menggambarkan pengangguran, kemiskinan dan kebuluran sebagai ciri utama sambutan Hari Pekerja tahun ini di Palestin.
Shaher menganggarkan jumlah kerugian bulanan yang ditanggung oleh golongan pekerja Palestin mencecah 1.35 bilion shekel, bersamaan kira-kira AS$372.5 juta (RM1.6 bilion).
Menurut kenyataan itu, sejak awal 2025 hingga 30 April lalu, seramai 18 pekerja Palestin telah terkorban, termasuk tiga yang ditembak mati oleh tentera Israel semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Seorang lagi maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Baitulmuqaddis selepas lokasi tempatnya bekerja diserbu oleh pasukan keselamatan Israel. – AGENSI