BANGKOK: Seramai 30 senator Thailand membantah cadangan peruntukan sebanyak 956 juta baht (RM125 juta) untuk kerja-kerja pengubahsuaian di Kompleks Parlimen baharu negara itu, dengan alasan perbelanjaan tersebut sebagai membazir, tidak berpaksikan keutamaan dan langsung tidak menguntungkan rakyat.
Jurucakap kumpulan tersebut, Senator Nantana Nantavaropas, dalam satu sidang akhbar semalam menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan pengubahsuaian itu yang disifatkan beliau sebagai tidak masuk akal, apatah lagi bangunan tersebut masih dalam tempoh jaminan dan baru digunakan selama empat tahun.
Beliau mendedahkan kompleks berkenaan yang menelan kos pembinaan asal sebanyak 22 bilion baht (RM2.87 bilion) berdepan pelbagai kerosakan struktur seperti dinding bocor, siling runtuh, tiang berkulat dan sistem pendingin hawa yang sering rosak.
“Lebih mengecewakan, peruntukan ini langsung tidak digunakan untuk membaiki kerosakan sedia ada, sebaliknya diluluskan untuk 10 projek lain yang tiada kaitan dan boleh dianggap tidak perlu,” kata beliau.
Antara projek yang dimaksudkan termasuklah kerja-kerja menaik taraf Muzium Parlimen yang tidak digunakan, pemasangan pawagam 4D dan pembaharuan sistem pencahayaan di bilik-bilik seminar.
Satu daripada cadangan paling kontroversi menurut beliau ialah pemasangan penyaman udara di Balai Sala Kaeo (Crystal Pavilion) yang dijangka meningkatkan kos penggunaan elektrik secara mendadak.
Katanya, terdapat lima lagi projek tambahan yang masih belum mendapat kelulusan rasmi, termasuk pembinaan struktur tempat letak kereta baharu yang dianggarkan menelan belanja sebanyak 4.6 bilion baht (RM600 juta), atau kira-kira 1 juta baht (RM130,000) bagi setiap petak letak kereta.
“Projek-projek ini seolah-olah lebih mengutamakan keselesaan ahli parlimen, bukannya untuk kepentingan rakyat. Kami akan gunakan segala saluran yang ada untuk menghalang pembaziran ini,” tegas beliau. – AGENSI