Zoo China dikecam 'dandan' anak cimpanzi

Zoo China dikecam ‘dandan’ anak cimpanzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HENAN: Sebuah zoo di tengah China mencetuskan kontroversi selepas video seekor anak cimpanzi dipakaikan baju dan didandan seperti kanak-kanak perempuan tular di media sosial.

Anak cimpanzi betina berusia lapan bulan yang diberi nama gelaran Qixi, dilahirkan dan dibesarkan di Zoo Hutan Hesheng di Qinyang, wilayah Henan.

Haiwan itu menjadi ‘selebriti internet’ dan menarik perhatian ramai pengunjung yang menganggapnya comel dan melayan haiwan itu seperti bayi manusia, menurut laporan Red Star News.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, video Qixi mengenakan pakaian kanak-kanak perempuan dan ditocang tular di pelbagai platform media sosial di China.

Qixi sering kelihatan berada di dalam katil bayi yang dihias dengan mainan, atau duduk di dalam kereta sorong sambil menghisap puting tiruan.

Rakaman video turut menunjukkan pengunjung bersalaman dengan haiwan tersebut, memeluknya dan mengambil gambar bersama.

Walaupun menarik perhatian ramai, tindakan pihak zoo menimbulkan kebimbangan kerana spesies seperti orang utan, cimpanzi dan gorila adalah dalam keluarga hominid iaitu spesies yang mempunyai hubungan rapat dengan manusia.

Menurut Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), orang utan kini dikategorikan sebagai spesies yang sangat terancam dan tidak wujud secara semula jadi di China kecuali di zoo.

Seorang penjaga haiwan di zoo berkenaan mempertahankan tindakan mereka dengan berkata, pakaian diberikan untuk memastikan haiwan itu kekal hangat dan rambutnya didandan supaya kelihatan lebih kemas kerana terlalu panjang hingga menutup mata.

“Kami sering membawanya berjemur di bawah matahari. Sepanjang interaksi dengan pengunjung, kami akan menyembur pembasmi kuman kepada pengunjung serta memandikan Qixi setiap dua hari. Jadi jangan risau, ia dijaga dengan baik,” kata penjaga itu yang enggan dikenali.

Namun, seorang saintis daripada organisasi kebajikan haiwan World Animal Protection China, Sun Quanhui menegaskan, tindakan itu boleh memudaratkan haiwan tersebut.

Menurutnya, cimpanzi dan orang utan mempunyai bulu tebal yang membantu mengawal suhu badan mereka secara semula jadi, justeru memakaikan pakaian boleh mengganggu fungsi tersebut.

Tambahan pula katanya, hidup bersendirian tanpa kumpulan boleh menjejaskan kesihatan mental haiwan itu kerana spesies ini secara semula jadi hidup dalam komuniti.

“Tanggungjawab sesebuah zoo adalah untuk menghormati keperluan semula jadi haiwan dan mewujudkan persekitaran yang pelbagai serta menyerupai habitat asalnya.

“Memakaikan pakaian, mendandan rambut dan membiarkan haiwan ini kerap berinteraksi dengan manusia boleh menjejaskan kesejahteraannya dan menghantar mesej yang salah seolah-olah haiwan hanya untuk hiburan,” kata Sun kepada media.

Isu ini menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet dan pencinta haiwan yang menyuarakan kebimbangan terhadap cara haiwan eksotik digunakan sebagai bahan tontonan dan hiburan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya