Video berbaring tengah lebuh raya ketika kemalangan tular, dua wanita China dikecam

Video berbaring tengah lebuh raya ketika kemalangan tular, dua wanita China dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Dua wanita warga China menerima kecaman hebat daripada jutaan warganet selepas video mereka berbaring di tengah-tengah lebuh raya ketika laluan terhenti akibat kemalangan di Jepun, tular.

Seorang daripada wanita tersebut yang menggunakan nama @Dongjingfacaitu di media sosial, memuat naik video mereka berbaring, duduk, meminum wiski dan berjalan bersama seekor anjing di antara dua barisan panjang kenderaan yang terhenti di lebuh raya antara Tokyo dan Gunung Fuji.

Kesibukan lalu lintas itu berpunca daripada satu kemalangan membabitkan dua bas pelancong yang menyebabkan 47 orang cedera dengan kebanyakannya pelancong asing termasuk dari Hong Kong dan Taiwan.

Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, laluan ditutup bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat untuk membantu mangsa.

Proses pemulihan mengambil masa beberapa jam sebelum keadaan kembali normal.

Wanita berkenaan turut menyatakan dalam kapsyen videonya bahawa mereka terlepas peluang melihat Gunung Fuji pada hari cerah, namun tetap menganggap pengalaman itu bermakna kerana sempat mengambil gambar ‘estetik’ di atas lebuh raya.

Namun, tindakan itu mengundang kemarahan warganet di Jepun dan China dengan ramai menganggap tindakan mereka tidak menghormati undang-undang tempatan serta memburukkan imej rakyat China di luar negara.

Seorang pengguna dari Jepun berkata, perbuatan itu menyusahkan orang lain manakala seorang warga China menulis, Jepun patut menghantar mereka pulang kerana individu seperti ini yang membuatkan ramai orang luar salah faham terhadap rakyat China.

Lebih mengejutkan, beberapa warganet turut menyedari bahawa wanita berkenaan memakai jaket yang masih mempunyai tanda harga, dipercayai mungkin akan dipulangkan semula selepas digunakan untuk bergambar, satu amalan yang sebelum ini dikecam hebat dalam kalangan pempengaruh.

Difahamkan, wanita itu telah menetap dan bekerja sebagai ejen hartanah di Jepun selama lapan tahun, dan mempunyai kira-kira 3,400 pengikut di media sosial.

Pada 8 April lalu, dia memuat naik satu lagi video tanpa sebarang permohonan maaf dan menyatakan dirinya ‘bermuka tebal’.

Video asal yang mengundang kontroversi telah dipadam oleh platform media sosial, namun wanita itu menggantikan gambar muka hadapan akaunnya dengan foto dirinya sedang berbaring di atas lebuh raya.

Peguam Jepun, Hiroshi Mizogami memberitahu Fuji News Network bahawa tindakan mereka sangat berbahaya dan mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya Jepun, mana-mana individu yang duduk, berdiri atau berbaring di atas jalan sehingga mengganggu lalu lintas boleh dikenakan denda sehingga 500,000 yen (RM15,474).

Insiden ini sekali lagi menghangatkan perbincangan tentang etika pelancong di luar negara dan kepentingan mematuhi undang-undang tempatan ketika melancong. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN