LONDON: Valencia, sebuah bandar peranginan popular di Sepanyol, dinobatkan sebagai bandar paling murah untuk didiami oleh golongan ekspatriat, menurut kajian terbaharu yang dijalankan oleh rangkaian ekspatriat global, InterNations.
Kajian tersebut menilai kehidupan ekspatriat berdasarkan beberapa faktor kewangan peribadi utama, termasuk kos sara hidup, tahap kepuasan terhadap situasi kewangan dan sama ada pendapatan boleh guna mereka mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa.
Valencia yang terletak di pesisir Costa Blanca, dinilai paling murah untuk didiami oleh ekspatriat dengan lebih tiga perempat atau 77 peratus ekspatriat yang tinggal di bandar itu menyatakan mereka berpuas hati dengan keadaan kewangan masing-masing jauh lebih tinggi daripada purata global iaitu 54 peratus.
Di tangga kedua adalah Panama City, ibu negara Panama, yang turut menjadi destinasi popular untuk persaraan di mana sebanyak 76 peratus ekspatriat di sana menyatakan kepuasan terhadap situasi kewangan mereka malah, 91 peratus melaporkan pendapatan boleh guna mereka mencukupi untuk hidup selesa.
Sementara itu, Malaga, satu lagi bandar pantai di Sepanyol, menduduki tempat ketiga dengan 72 peratus ekspatriat menyatakan mereka berpuas hati dengan kos sara hidup di bandar itu dan seramai 38 peratus turut melaporkan kepuasan sepenuhnya terhadap kewangan mereka.
Namun begitu, di sebalik bandar-bandar mampu milik itu, Vancouver di Kanada muncul sebagai bandar paling mahal untuk ekspatriat di mana sebanyak 88 peratus penduduk asing di bandar tersebut menyifatkan kos hidup di sana sebagai terlalu tinggi, manakala 65 peratus mengakui pendapatan boleh guna mereka tidak mencukupi untuk hidup selesa.
Toronto turut tersenarai sebagai bandar kedua paling mahal dengan 81 peratus responden mengadu tentang kos sara hidup yang tinggi, manakala lebih separuh menyatakan ketidakpuasan terhadap situasi kewangan masing-masing.
London pula berada di tangga ketiga sebagai bandar termahal dengan sebanyak 70 peratus menyifatkan kos hidup di ibu negara Britain itu terlalu tinggi, manakala hampir dua daripada lima responden tidak berpuas hati dengan situasi kewangan mereka.