VATICAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, yang berada di Rom bagi menghadiri pengebumian Paus Francis, bertemu secara peribadi di Basilika, Vatican semalam.
Pertemuan bersemuka itu adalah cubaan memperbaiki usaha yang semakin terjejas untuk menamatkan perang Russia dengan Ukraine.
Zelenskiy berkata, pertemuan itu boleh menjadi bersejarah jika ia membuahkan perdamaian yang diharapkannya, sementara seorang jurucakap Rumah Putih menyifatkannya sebagai ‘sangat produktif’.
Kedua-dua pemimpin dilihat berjumpa bersendirian tanpa ditemani pembantu di Basilika St Peter dan meluangkan masa berbincang selama sekitar 15 minit, menurut pejabat Zelenskiy dan gambar pertemuan disiarkan oleh Kyiv dan Washington.
Pertemuan di Vatican adalah yang pertama sejak pertemuan tegang mereka di Pejabat Oval di Washington pada Februari lalu dan ia berlaku pada masa kritikal dalam rundingan untuk menamatkan pertempuran antara Ukraine dan Russia.
Selepas upacara pengebumian Paus Francis, Trump menaiki Air Force One dan meninggalkan Rom.
Ketika dalam perjalanan, melalui media sosialnya, Truth Social, Trump berkongsi catatan yang mencerminkan nada tegas terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin.
Trump menyatakan, tiada alasan untuk Putin menembak peluru berpandu ke kawasan awam, bandar dan pekan-pekan dalam tempoh beberapa hari lalu.
Katanya, seramai 12 orang terkorban akibat terkena peluru berpandu yang ditembak oleh Russia menyasarkan sebuah blok apartmen di Kyiv pada Khamis lalu.
“Ia membuatkan saya berfikir mungkin beliau (Putin) tidak mahu menghentikan perang, beliau hanya mempermainkan saya dan adakah ia perlu ditangani dengan cara yang berbeza melalui ‘kewangan’ atau ‘sekatan sekunder’? Terlalu banyak orang terkorban,” tulis Trump.
Dalam satu hantaran di platform media sosial Telegram, Zelenskiy pula menyimpulkan pertemuannya dengan Trump membuahkan hasil.
“Perjumpaan yang baik. Secara berdua, kami berjaya membincangkan banyak perkara. Kami berharap untuk memperoleh hasil daripada semua perkara yang dibincangkan,” katanya.
Katanya, antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha melindungi nyawa rakyat negaranya, gencatan senjata kekal dan tanpa syarat.