WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan untuk menangguhkan tarif perdagangan baharu terhadap puluhan negara bagi tempoh 90 hari.
Namun, langkah itu tidak termaktub untuk China, malah AS terus meningkatkan tekanan terhadap negara itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan oleh pentadbiran Trump yang menyaksikan pasaran saham dunia merudum.
“Saya lihat malam tadi ramai pihak berasa ‘jelik dan muak’ dan kini, pasaran saham sudah semakin bagus,” kata Trump kepada media selepas membuat pengumuman tersebut.
Menerusi langkah terbaharu itu, Trump memaklumkan beliau akan menangguhkan tarif baharu selama tiga bulan di sejumlah negara bagi membolehkan pentadbirannya berbincang dengan negara-negara yang mahu mengurangkan kadar tarif berkenaan.
Namun, beliau tetap menekan Beijing dengan menaikkan tarif sehingga 125 peratus berbanding 104 peratus sebelum ini.
Katanya, China tidak memerlukan pengecualian tersebut.