WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terus menyalahkan pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky atas pencerobohan Russia dengan tuduhan beliau bertanggungjawab untuk kematian ‘jutaan’ nyawa, pada Isnin.
Trump yang terlibat dalam pertikaian terbuka dengan Zelensky di Pejabat Oval enam minggu lalu mendakwa Presiden Ukraine itu turut bersalah bersama Presiden Russia Vladimir Putin, yang mengarahkan pencerobohan pada Februari 2022 selain bekas presiden AS Joe Biden juga didakwa ‘bersubahat’.
Calon Republikan itu memberitahu pemberita bahawa jutaan orang mati kerana tiga individu tersebut.
“Katakanlah Putin nombor satu, tapi Biden yang langsung tidak tahu apa yang dilakukannya nombor dua, dan Zelensky.
“Dia (Zelensky) asyik mahu membeli perluru berpandu.
“Apabila memulakan perang, kamu perlu tahu bahawa kamu boleh menang. Kamu tidak memulakan perang dengan pihak yang 20 kali ganda lebih besar, kemudian mengharapkan orang memberi peluru berpandu,” kata Trump.
Hubungan Trump dan Zelensky tegang sejak Presiden AS itu mengejutkan dunia dengan memulakan rundingan bersama Russia pada Februari lalu.
Menjelang pertikaian mereka pada 28 Februari, Trump berulang kali menyuarakan naratif Moscow iaitu menyalahkan Ukraine berhubung perang yang berlaku dan memanggil Zelensky sebagai diktator tanpa pilihan raya.
Zelensky sejak itu cuba memulihkan hubungan, termasuk menghantar delegasi ke Washington minggu lalu untuk membincangkan perjanjian mineral yang didesak Trump yang akan memberi akses keutamaan kepada AS terhadap sumber asli Ukraine.
Trump bagaimanapun menegaskan perjanjian untuk mengakhiri perang Ukraine belum pasti, walaupun Ukraine mendakwa Moscow sengaja melengahkan proses.