Singapura kenal pasti pemimpin PAS cuba pengaruhi GE2025

Singapura kenal pasti pemimpin PAS cuba pengaruhi GE2025

(DARI kiri) Sukri Omar, Zulfikar Mohamad Shariff dan Iskandar Abdul Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik di Facebook oleh warga asing termasuk dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama mengenal pasti Bendahari Agung, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, sebagai dua individu yang telah campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 Singapura (GE2025).

MHA dan ELD menambah bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) untuk warga asing menyertai aktiviti pilihan raya atau menerbitkan OEA.

Lapor Berita Harian Singapura, kedua-duanya telah mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen mereka terhadap politik Singapura.

Di samping itu, terdapat satu penerbitan PAS, Harakah Daily, yang telah menyiarkan dua artikel pada 22 dan 23 April, tentang komen Iskandar mengenai keadaan masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025.

Kedua-dua artikel itu bertajuk, ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ dan ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Kenyataan MHA dan ELD pada 25 April berkata, ia merupakan kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.

“Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekalipun mempengaruhi pilihan raya Singapura.

“Adalah satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA).

“Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan,” tambah kenyataan itu

Iskandar menyatakan sokongan terhadap beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025 menerusi Facebooknya.

Antaranya ialah calon Parti Pekerja (WP), Faisal Manap dan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas.

“Sedih jika Faisal kalah, selepas segala usaha baik yang dilakukan sejak 2011.

“Beliau telah membangkitkan banyak isu terutamanya isu tudung dan mempunyai keberanian untuk menjelaskan kepada Parlimen bahawa dalam Islam, agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Harap beliau akan berjaya sekali lagi walaupun sukar,” katanya.

Beliau turut memuat naik satu tangkap layar mengenai ucapan Damanhuri ketika Hari Penamaan Calon.

“Ucapan tegas beliau, patut dijadikan iktibar. 60 tahun mereka berkuasa, bersangka baik diinjak kepala.”

Penerbitan Harakah Daily turut mengeluarkan artikel yang menukil komen Iskandar.

Antaranya, dalam artikel bertajuk, ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ beliau menamakan tiga calon WP Melayu iaitu Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Abdul Muhaimin Abdul Malik, serta Sufyan Mikhail Putra yang menarik perhatiannya, selain Faisal dan Damanhuri.

“Mungkin ramai menyangka orang Melayu di Singapura tidak berani menentang kerajaan (pemerintah), tetapi keadaan sekarang menunjukkan sebaliknya.

“Calon-calon yang tampil ini bukan calang-calang, malah berpendidikan tinggi, berpengalaman bidang profesional masing-masing,” katanya.

Awal sebelum ini, beliau turut mengetengahkan kekhuatiran berhubung langkah mengambil khidmat perundingan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar negara itu.

Beliau bimbang konsep pemilikan perumahan Singapura dilihat sebagai agenda migrasi warga asing, sekali gus menyingkirkan Melayu bandar yang miskin apabila hartanah dijual pada harga bebas dan di luar kemampuan mereka.

“Apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar, kesannya amat buruk sekali bagi orang Melayu.

“Di mana sebelum merdeka, Singapura ada kerusi-kerusi (Parlimen) di mana orang Melayu adalah majoriti,” ujarnya dalam artikel ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, pula menyiarkan semula hantaran Zulfikar Mohamad Shariff, yang telah menukar kewarganegaraan Singapura kepada Australia pada 2020 mengenai isu ‘Hijab di Singapura, Mengapa AP Melayu tidak boleh menjadi harapan kita (masyarakat Melayu)‘.

Dalam hantaran tersebut, Sukri mengaitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti di Malaysia, dengan PAP.

“Moga umat Islam di Malaysia tidak tertipu dengan DAP, mengulangi kesilapan di Singapura,” tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya