TEL AVIV: Tentera Israel melanjutkan tempoh perkhidmatan wajib tentera selama empat bulan berikutan kekurangan anggota, menurut laporan Anadolu yang memetik media tempatan kelmarin.
Menurut akhbar harian Yedioth Ahronoth, anggota tentera akan berkhidmat tambahan empat bulan, menjadikan tempoh perkhidmatan penuh kepada tiga tahun.
Tentera Israel juga menggantung cuti prapelepasan, mewajibkan anggota berkhidmat sepenuhnya selama tiga tahun sebelum dibebaskan.
Tiada pengesahan rasmi daripada tentera Israel mengenai laporan tersebut.
Akhbar itu menyatakan keputusan ini diambil bagi menangani kekurangan anggota yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menyaksikan Israel kini kekurangan 10,000 anggota dengan 7,000 daripadanya dalam unit tempur.
Langkah ini diambil ketika tentera Israel terus melancarkan serangan berdarah di Semenanjung Gaza yang mengorbankan hampir 52,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak Oktober 2023.
Namun sehingga kini, Israel tidak mengakui tenteranya banyak terkorban dalam perang di Gaza.
Israel sebelum ini cuba meluluskan undang-undang memanjangkan perkhidmatan wajib kepada tiga tahun berbanding dua tahun lapan bulan sekarang, tetapi menghadapi tentangan daripada anggota ultra-Ortodoks dalam gabungan kerajaan yang mahukan pengecualian untuk komuniti mereka daripada perkhidmatan tentera sebagai balasan untuk menyokong rang undang-undang tersebut.
Orang Yahudi ultra-Ortodoks, atau Haredi membentuk 13 peratus daripada populasi Israel yang berjumlah 10 juta orang.