MOSCOW: Presiden Russia Vladimir Putin mengumumkan gencatan senjata mengejutkan selama sehari di Ukraine sempena sambutan Easter tetapi Kyiv mendakwa tentera Russia terus melepaskan tembakan artileri.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata, Russia sebelum ini menolak cadangan serupa yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bulan lalu dan tidak boleh dipercayai.
Langkah sementara Putin itu dijangka berlangsung lebih 30 jam susulan pengumuman Washington yang mengancam menghentikan rundingan damai dalam beberapa hari sekiranya Moscow dan Kyiv tidak menunjukkan kesungguhan.
Putin mengarahkan pertempuran dihentikan mulai pukul 6 petang waktu Moscow pada Sabtu sehingga tengah malam Ahad.
“Berdasarkan pertimbangan kemanusiaan, Russia mengisytiharkan gencatan senjata sempena Easter. Saya mengarahkan semua aktiviti ketenteraan dihentikan dalam tempoh ini,” kata Putin kepada Ketua Turus Am Russia Valery Gerasimov dalam satu mesyuarat yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
“Kami menjangkakan Ukraine akan mengikut contoh kami. Pada masa sama, pasukan kami mesti bersedia untuk menangkis sebarang pelanggaran gencatan dan provokasi musuh, serta tindakan agresif,” tambah Putin.
Tidak lama selepas pengumuman itu, kira-kira sejam sebelum gencatan dijadualkan bermula, siren amaran serangan udara berbunyi di Kyiv. Satu lagi amaran dikeluarkan di Kyiv dan wilayah sekitar ibu kota, kira-kira empat jam selepas tempoh gencatan senjata bermula.
Sehingga 45 minit sebelum gencatan senjata dijadualkan bermula, pesawat Ukraine masih menangkis serangan udara Rusia, tulis Zelensky dalam satu catatan di X.
Zelensky turut memetik komander tertinggi Ukraine mengenai operasi berterusan tentera Russia di beberapa barisan depan, dan tembakan artileri Russia juga tidak berkurangan.