Penyelidik dedah manusia sudah guna pelindung matahari sejak zaman purba - Utusan Malaysia

Penyelidik dedah manusia sudah guna pelindung matahari sejak zaman purba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekumpulan penyelidik antarabangsa mendedahkan manusia purba dipercayai terselamat daripada ancaman sinaran suria berbahaya lebih 40,000 tahun lalu dengan menggunakan sejenis bahan semula jadi yang kini dikenali sebagai pelindung matahari prasejarah.

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat mendapati manusia zaman batu, termasuk Homo sapiens, menggunakan oker, iaitu sejenis mineral semula jadi yang mengandungi sifat pelindung sinaran ultraungu (UV) bagi melindungi kulit mereka daripada kesan radiasi kosmik yang semakin kuat ketika itu.

Fenomena tersebut berlaku sewaktu Kutub Utara magnetik mengalami peralihan kedudukan ke atas benua Eropah, sekali gus menyebabkan medan magnet bumi menjadi lemah dan membenarkan lebih banyak sinaran berbahaya menembusi atmosfera bumi.

Dr Agnit Mukhopadhyay yang mengetuai penyelidikan itu berkata mereka menggabungkan kawasan-kawasan yang terdedah kepada sinaran tinggi kerana tidak lagi dilindungi medan magnet dan mendapati lokasi-lokasi ini sepadan dengan peningkatan aktiviti manusia awal khususnya peningkatan penggunaan gua dan penggunaan pelindung matahari prasejarah.

Dalam tempoh itu, manusia moden dipercayai meningkatkan penggunaan oker, di samping melindungi diri dengan berpindah masuk ke dalam gua serta mula menghasilkan pakaian yang sesuai, menurut pakar-pakar antropologi.

Sebaliknya, Neanderthal yang turut mendiami kawasan sama pada waktu itu dipercayai tidak mempunyai teknologi atau pengetahuan untuk melindungi diri mereka daripada sinaran berbahaya, dan akhirnya pupus sekitar 40,000 tahun lalu.

“Perbezaan antara Homo sapiens dan Neanderthal yang mungkin menjelaskan kepupusan mereka telah menjadi persoalan besar dalam bidang antropologi selama beberapa dekad,” menurut Profesor Antropologi, Dr Raven Garvey.

Katanya, Homo sapiens mungkin telah ‘menggiatkan’ penggunaan oker, yang terdiri daripada gabungan oksida besi, tanah liat dan silika, kerana menyedari keberkesanannya sebagai pelindung matahari.

Dr Garvey turut menyatakan peningkatan pengeluaran oker serta kaitannya dengan manusia moden menunjukkan ia memang digunakan secara aktif untuk tujuan perlindungan tersebut.

Fenomena perubahan kutub magnetik bumi yang turut digelar sebagai Peristiwa Laschamps telah berlaku lebih 180 kali sepanjang sejarah bumi dan memberi kesan langsung kepada keseimbangan iklim serta kehidupan di planet ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya