BANGKOK: Seorang pengurus mayat di wilayah Saraburi, Thailand meraih keuntungan hampir 60,000 baht (RM7,800) selepas menjual kepingan emas yang dikumpul sepanjang kerjayanya.
Lelaki tersebut mengunjungi sebuah kedai emas terkenal di Saraburi, Namo Ban Chang Tong, bagi menjual lebih 10 keping kecil emas yang dikumpulkan selama bertahun-tahun.
Menurutnya, dia dan rakan sekerja tidak pasti sama ada kepingan tersebut tulen, lalu meminta pemilik kedai, Namo, untuk membuat pemeriksaan.
Dalam video yang dikongsikan di akaun TikTok Namo, pengurus mayat berkenaan membawa kepingan emas tersebut untuk diperiksa satu persatu dan hasil pemeriksaan menunjukkan semua kepingan itu adalah emas asli.
Kesemua emas tersebut kemudiannya dicairkan dan dibentuk menjadi satu jongkong kecil dengan berat keseluruhan 21.13 gram, bernilai 59,371 (RM 7,720) baht.
Pengurus mayat itu berkata, dia bekerja di sebuah tanah perkuburan yang banyak menguruskan mayat dari keluarga Thai berketurunan Cina dan ada antaranya memakai gigi emas yang tidak ditanggalkan sebelum pengebumian.
Bagaimanapun, apabila ada keluarga yang meminta supaya mayat dikebumikan semula atau dibakar, proses pembakaran menghasilkan abu, serpihan tulang, dan kadangkala kepingan emas selain kebanyakan keluarga tidak berhasrat mengambil semula emas tersebut dan menyerahkannya kepada pihak pengurusan tanah perkuburan.
Lelaki itu menegaskan semua emas diperoleh secara sah dengan pengetahuan serta keizinan keluarga si mati.
Lelaki itu memaklumkan kepada Namo sebahagian hasil jualan emas itu akan digunakan untuk membuat amal kebajikan atas nama si mati yang diuruskannya sebelum ini.