ISTANBUL: Seorang pelancong warga Britain berusia 22 tahun maut bersama juruterbangnya ketika melakukan luncur udara (paragliding) di Babadag, Fethiye, Turkiye, semalam.
Mangsa bersama juruterbang berusia 29 tahun melakukan terjunan berkembar dari puncak gunung setinggi 6,500 kaki sekitar pukul 11.45 pagi waktu tempatan, namun nahas berlaku apabila payung terjun mereka dilaporkan rosak dan terputus, lalu terhempas ke tebing berbatu di lereng gunung.
Menurut laporan media Turkiye, kejadian itu disedari oleh penggiat paragliding lain yang segera menghubungi pihak penyelamat sebelum kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mereka kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran bagi tujuan bedah siasat.
Pihak berkuasa tempatan memulakan siasatan terperinci termasuk pemeriksaan terhadap peralatan paragliding yang digunakan, selain menggantung sementara semua aktiviti penerbangan paragliding di kawasan Babadag.
Gunung Babadag yang terkenal dengan pemandangan pantai yang menakjubkan dianggap sebagai antara lokasi paragliding terbaik di Eropah, namun turut mencatatkan beberapa insiden maut sebelum ini.
Pada Oktober 2022, seorang lagi pelancong Britain, Frank Lally, 62, turut maut di lokasi sama sebelum terhempas ke batu beberapa saat selepas terjunan dilakukan.
Pada tahun 2014, seorang lagi warga Britain, Justin Clarke, nyaris maut apabila payung terjunnya berpintal di udara selepas berlepas dari Babadag.
Insiden-insiden ini menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan pemantauan ketat ke atas aktiviti paragliding di kawasan berkenaan yang kerap menjadi tumpuan pelancong asing.