Nak jimat sewa rumah, gadis rela tinggal di tandas kilang

Nak jimat sewa rumah, gadis rela tinggal di tandas kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUNAN: Seorang gadis di China mengejutkan ramai pihak apabila memilih untuk tinggal di sebuah tandas kecil di tempat kerjanya demi menjimatkan wang sewa rumah.

Gadis berusia 19 tahun dari wilayah Hunan itu menjadi tular di media sosial selepas berkongsi gambar kediamannya yang hanya berkeluasan enam kaki persegi iaitu sebuah tandas tidak digunakan di dalam kilang perabot tempat dia bekerja.

Menurutnya, dia berasal daripada keluarga miskin dan tidak mampu menyewa rumah dengan kadar 800 yuan (RM489) ke atas.

Justeru, dia meminta izin majikannya untuk tinggal di tandas berkenaan, malah sanggup membayar 50 yuan (RM32) sebulan sebagai bayaran air dan elektrik.

Hantarannya di media sosial mengundang pelbagai reaksi, dengan sesetengah netizen mendakwa dia hanya mencari perhatian kerana mustahil ada orang sanggup tinggal dalam keadaan sedemikian namun, majikannya tampil mengesahkan pekerjanya itu benar-benar tinggal di tandas kilang.

Tambahnya, kilang perabot borong itu terletak di sebuah taman perindustrian terpencil, menyebabkan pilihan tempat tinggal yang berpatutan sangat terhad.

Menurut gadis itu, majikannya telah berusaha mencarikan penginapan yang lebih selesa berhampiran kilang, tetapi kadar sewanya tinggi iaitu antara 800 hingga 1,000 yuan (RM489 hingga RM610).

Dengan gaji kurang daripada 3,000 yuan (RM1,831) sebulan, dia memilih untuk berjimat bagi mengumpul wang pendahuluan membeli rumah.

Majikannya turut menawarkan sebuah pejabat di kilang sebagai tempat tinggal yang lebih sesuai, namun gadis itu menolak kerana menganggap tandas tersebut memberikan lebih privasi.

Selepas kisahnya menjadi tular, gadis itu mendedahkan dia telah berhenti sekolah pada usia 16 tahun untuk membantu keluarganya dari segi kewangan, sekali gus menjadikan pekerjaannya kini amat penting baginya.

Dia sudah tinggal di tandas itu selama kira-kira sebulan, tetapi majikannya kini sedang mengubah suai sebuah pejabat di kilang, dan dia berharap dapat berpindah ke sana dalam masa terdekat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya