KAHERAH: Pihak pengantara Mesir mengemukakan satu cadangan baharu daripada Israel untuk gencatan senjata di Gaza kepada Hamas, menurut saluran televisyen milik kerajaan Mesir, Al Qahera News TV,
Namun, seorang pegawai kanan Hamas berkata sekurang-kurangnya dua unsur dalam cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali.
Memetik sumber, Al Qahera melaporkan pengantara sedang menunggu maklum balas daripada Hamas.
Hamas kemudiannya mengeluarkan kenyataan pihaknya sedang mengkaji cadangan itu dan akan memberikan jawapan ‘secepat mungkin’.
Kumpulan bersenjata itu mengulangi tuntutan utama mereka bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti menamatkan perang di Gaza dan memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah itu.
Terdahulu, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, memberitahu Reuters adangan itu tidak memenuhi tuntutan kumpulan itu supaya Israel bersetuju untuk menghentikan segala bentuk permusuhan sepenuhnya.
Menurut beliau, buat pertama kalinya dalam rundingan ini, Israel turut mencadangkan pelucutan senjata Hamas dalam fasa seterusnya, yang tidak akan dipersetujui oleh pihaknya.
“Menyerahkan senjata pejuang adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh dipertimbangkan, apatah lagi dibincangkan,” kata Abu Zuhri.
Pihak Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung cadangan yang dikemukakan itu.