BAITULMUQADDIS: Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengutuk pengumuman Presiden Perancis Emmanuel Macron berhubung kemungkinan Paris akan mengiktiraf Palestin menjelang Jun dan menyifatkannya sebagai ‘hadiah’ untuk keganasan.
“Pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin oleh mana-mana negara adalah dalam realiti yang kita semua sedia maklum akan menjadi ganjaran untuk keganasan dan dorongan untuk Hamas.
“Tindakan sebegini tidak akan mendekatkan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau kita sebaliknya, ia hanya menjauhkannya lagi,” kata Saar di X petang Rabu.
Perancis merancang untuk mengiktiraf Palestin dalam tempoh beberapa bulan dan mungkin akan membuat pengumuman tersebut di persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jun berkaitan penyelesaian konflik Israel-Palestin, kata Macron pada Rabu.
“Kita perlu bergerak ke arah pengiktirafan dan kami akan melakukannya dalam bulan-bulan akan datang,” kata Macron, yang baru-baru ini melawat Mesir, kepada saluran televisyen France 5.
Perancis sudah lama menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dan pengiktirafan rasmi oleh Paris terhadap Palestin bakal menandakan perubahan dasar yang besar dan berisiko menimbulkan kemarahan Israel.
Di Mesir, Macron mengadakan perbincangan kemuncak dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi dan Raja Abdullah II dari Jordan.