LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer bertemu rakan sejawatannya dari Palestin, Mohammed Mustafa, di London sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan United Kingdom (UK) untuk memperjuangkan penubuhan negara Palestin.
Dalam pertemuan itu, Starmer menyampaikan ucapan takziah terhadap kehilangan nyawa yang dahsyat di Gaza, di mana tindakan ketenteraan Israel sejak akhir 2023 sudah meragut lebih 51,000 nyawa rakyat Palestin.
Beliau berkata, UK akan terus mendesak agar perjanjian gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas, serta menentang penyambungan semula peperangan di Gaza selepas kegagalan gencatan senjata terdahulu pada pertengahan Mac.
Mohammed, pemimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA) pertama yang melawat Downing Street sejak 2021, turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar, David Lammy.
Mereka menandatangani satu memorandum persefahaman yang memperteguh komitmen untuk memajukan penubuhan negara Palestin sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara, menurut Pejabat Luar Negeri UK.
Dokumen itu mengesahkan bahawa PA adalah satu-satunya entiti pemerintah yang sah di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Gaza, Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat.
“Saya menegaskan semula komitmen UK untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai sumbangan kepada proses ini. Kami tidak akan berputus asa dengan penyelesaian dua negara, di mana negara Palestin dan Israel hidup berdampingan dalam keamanan, maruah dan keselamatan,” kata Lammy dipetik Arab News.
Ia juga menekankan keperluan untuk menyatukan semula Gaza dan Tebing Barat di bawah kuasa PA yang berpangkalan di Ramallah, yang turut dikehendaki melakukan pembaharuan politik dan kewangan.
Selain itu, UK mengumumkan pakej bantuan sebanyak 101 juta pound (RM589 juta) untuk rakyat Palestin bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan, pembangunan ekonomi dan pembaharuan.
Lammy berkata, lawatan Mohammed merupakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan UK dengan PA, rakan penting bagi keamanan di Asia Barat pada detik yang kritikal ini.
Beliau menambah, Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza sejak 2007 dan melancarkan serangan berdarah terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, tidak akan memainkan sebarang peranan dalam masa depan Gaza.
Menurut Pejabat Kementerian Luar UK, Hamas mesti segera membebaskan tebusan Israel dan melepaskan kawalan ke atas Gaza sambil menambah mereka akan bekerjasama dengan PA dalam satu pelan bersama untuk masa depan Gaza, berdasarkan inisiatif yang diketuai oleh negara-negara Arab.