Kembara kereta api keliling dunia selama 100 hari, tiket berharga RM672,000 - Utusan Malaysia

Kembara kereta api keliling dunia selama 100 hari, tiket berharga RM672,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bagi pengembara yang mahu melihat dunia tanpa perlu menaiki pesawat, satu pengembaraan luar biasa selama 100 hari menggunakan kereta api dan kapal persiaran mungkin jawapan yang dicari.

Syarikat pelancongan baharu, Adventures By Train, telah melancarkan pakej perdana yang bakal membawa peserta menjelajah tiga benua dan 14 buah negara, tanpa satu pun penerbangan terlibat hanya rel dan laut.

Perjalanan sulung dijadualkan berlepas dari Stesen London St Pancras pada 17 Mac 2026, dengan tiket berharga 112,900 pound (kira-kira RM672,000) seorang.

Bagaimanapun, hanya 12 tempat disediakan bagi sesi pertama ini, menjadikan ia satu peluang eksklusif untuk pengembara sejati dan pasangan yang menempah bersama akan menikmati kadar istimewa iaitu 89,950 pound (RM535,000) setiap seorang, lapor portal Time Out.

Sepanjang pengembaraan epik ini, para peserta akan mengunjungi pelbagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di serata dunia termasuk Perancis, Switzerland, Austria, Hungary, Romania, Bulgaria, Turkiye, Georgia, Azerbaijan, Kazakhstan, China, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Antara laluan ikonik yang akan dilalui termasuk kereta api tidur merentasi Banjaran Alps, laluan berkelajuan tinggi China menuju ke bandar Xian, dan laluan legenda California Zephyr yang merentasi Pergunungan Rocky di Amerika.

Menurut Pengarah Adventures By Train, Jim Louth, pakej ini menggabungkan pengalaman perjalanan kereta api bertaraf dunia dengan aktiviti kebudayaan yang dipilih khas dalam suasana selesa dan mewah.

Pengalaman turut diselitkan dengan aktiviti unik seperti upacara minum teh tradisional di Tokyo, lawatan berjalan kaki di kota purba Khiva di Uzbekistan, serta mencicip wain asli di Georgia.

Selain pengalaman atas landasan, peserta turut akan menyeberangi Lautan Pasifik dari Tokyo ke Vancouver dalam pelayaran selama 23 hari serta pelayaran transatlantik selama tujuh malam dari New York ke Southampton menaiki kapal mewah Queen Mary 2 termasuk dari Azerbaijan ke Kazakhstan yang mengambil masa 24 hingga 30 jam dan pelayaran semalaman dari Shanghai ke Osaka.

Sepanjang pengembaraan, peserta akan bermalam di hotel bersejarah dan bertaraf lima bintang seperti Pera Palace di Istanbul, The Langham di New York dan Shangri-La di Vancouver serta syarikat turut memperuntukkan sebanyak $100 (RM470) untuk setiap orang di setiap hotel bagi perkhidmatan dobi. –AGENSI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya