Kanak-kanak dijangkiti kolera maut jalan kaki tiga jam cari bantuan

Kanak-kanak dijangkiti kolera maut jalan kaki tiga jam cari bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUBA: Lapan individu termasuk lima kanak-kanak dilaporkan maut akibat jangkitan kolera selepas berjalan kaki selama tiga jam dalam keadaan panas terik untuk mendapatkan rawatan, susulan penutupan pusat kesihatan di Sudan Selatan yang sebelum ini ditaja oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut pertubuhan kebajikan antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Save the Children, insiden menyayat hati itu berlaku bulan lalu.

Ia adalah antara kematian pertama yang secara langsung dikaitkan dengan pemotongan bantuan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, yang mula berkuat kuasa sejurus beliau memegang jawatan pada 20 Januari lalu.

Langkah pentadbiran Trump menyemak semula agihan dana untuk memenuhi agenda ‘Amerika Didahulukan’, menyaksikan pembatalan lebih 90 peratus kontrak Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan buruk terhadap jutaan nyawa akibat kekurangan rawatan penyakit seperti AIDS, tuberkulosis, malaria dan malnutrisi.

Save the Children sebelum ini menyokong operasi 27 pusat kesihatan di Jonglei, timur Sudan Selatan namun, selepas pemotongan bantuan AS, tujuh daripadanya terpaksa ditutup sepenuhnya manakala selebihnya beroperasi secara terhad.

Perkhidmatan pengangkutan yang dibiayai oleh AS untuk membawa pesakit ke hospital utama di bandar berdekatan turut dihentikan, memaksa mangsa-mangsa kolera tersebut berjalan kaki dalam cuaca panas mencecah hampir 40 darjah Celsius demi mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

Menurut Pengarah Negara Save the Children di Sudan Selatan, Christopher Nyamandi, tiga daripada kanak-kanak yang maut berusia bawah lima tahun.

“Seluruh dunia sepatutnya bangkit menunjukkan kemarahan moral apabila keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa di negara lain telah mengakibatkan kematian kanak-kanak hanya dalam tempoh beberapa minggu,” ujar beliau dalam satu kenyataan dipetik Reuters.

Selain pemotongan mendadak oleh AS, pengurangan secara beransur-ansur oleh penderma antarabangsa lain turut menambah tekanan terhadap usaha bantuan kemanusiaan di negara tersebut.

Tahun ini, Save the Children dijangka hanya mampu membelanjakan AS$30 juta (RM134.9 juta) di Sudan Selatan berbanding AS$50 juta (RM224.86 juta) pada tahun lalu.

Lebih satu pertiga daripada kira-kira 12 juta penduduk Sudan Selatan telah hilang tempat tinggal akibat konflik dan bencana alam, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran negara itu kini berada di ambang perang saudara baharu selepas tercetusnya pertempuran di timur laut sejak Februari lalu.

Wabak kolera diisytiharkan di Sudan Selatan sejak Oktober lalu dan sehingga bulan lepas, lebih 22,000 kes telah direkodkan dengan ratusan kematian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya