Jurufoto Palestin maut seminggu sebelum majlis kahwin

Jurufoto Palestin maut seminggu sebelum majlis kahwin

FATIMA Hassouna lantang menyuarakan perjuangan rakyat Palestin menerusi lensa kamera. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jurufoto muda Palestin, Fatima Hassouna, 25, yang sebelum ini aktif mendokumentasikan penderitaan rakyat Gaza sepanjang 18 bulan serangan tentera Israel, terkorban dalam satu serangan udara yang menyasarkan rumah keluarganya di utara Gaza, hanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinannya.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku Rabu lalu, serangan tersebut turut meragut nyawa 10 ahli keluarganya yang lain, termasuk adiknya yang sedang mengandung.

Sepanjang tempoh peperangan yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023, Fatima tidak hanya kehilangan rumah dan tempat berteduh, malah 11 ahli keluarganya juga terbunuh sebelum ini.

Tentera Israel dalam kenyataan balasnya mendakwa serangan tersebut menyasarkan seorang anggota Hamas yang didakwa terlibat dalam serangan terhadap tentera dan orang awam Israel.

Namun, ramai pihak mempersoalkan motif serangan tersebut, apatah lagi Fatima dikenali sebagai seorang wartawan foto yang vokal dan mempunyai pengaruh meluas dalam dokumentasi penderitaan rakyat Palestin.

Tragisnya, hanya sehari sebelum kematiannya, pengumuman dibuat mengenai sebuah dokumentari berjudul Put Your Soul on Your Hand and Walk yang menampilkan kisah hidup dan perjuangan Fatima di Gaza bakal ditayangkan di Festival Filem Cannes Acid, Perancis.

Lebih 170 wartawan terbunuh di Gaza sejak peperangan bermula, menjadikannya konflik paling berdarah buat golongan media dalam sejarah moden.

Beberapa anggaran lain malah meletakkan jumlah korban dalam kalangan wartawan mencecah 206 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 51,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak Oktober lalu, dengan lebih separuh daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas runtuh pada bulan Mac, serangan udara disambung semula dengan sekurang-kurangnya 30 lagi kematian direkodkan pada Jumaat lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya